suria

JPJ Buat Laporan Polis Terhadap 10 Akaun Facebook 'Lesen Terbang'

Datuk Nadzri Siron
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat laporan polis terhadap lebih 10 akaun Facebook yang menawarkan 'lesen terbang' kepada orang ramai.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, laporan polis dibuat di balai polis Putrajaya pada Selasa berkaitan dengan sindiket pengeluaran lesen memandu tanpa melalui prosedur yang sah.

"JPJ telah membuat laporan polis terhadap lebih 10 akaun Facebook berhubung 'lesen terbang'. 

"Kita sedang bekerjasama dengan pihak polis termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan mengenai sindiket khidmat yang menawarkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian JPJ yang tersebar di media sosial terutama Facebook.

Nadzri berkata, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 26 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya terdapat mana-mana pemandu memiliki lesen memandu yang tidak sah atau memperolehnya secara haram.

Jika didapati bersalah, katanya, boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sebanyak 146 kes kesalahan memiliki lesen memandu palsu telah diambil tindakan antara 2015 sehingga 2016," ujar Nadzri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai agar berhati-hati supaya tidak ditipu dengan sindiket pengeluaran lesen memandu haram.

Sementara itu, JPJ dalam satu kenyataan berkata, permohonan lesen memandu hendaklah dibuat mengikut prosedur jabatan dengan menghadiri kelas teori dan latihan praktikal yang ditetapkan di mana-mana institut memandu yang bertauliah.

Selain itu, pemohon juga perlu menjalani ujian kompetensi JPJ melalui ujian teori dan praktikal sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Nadzri berkata, lesen memandu yang dijual pada harga antara RM1,000 sehingga RM1,500 merupakan lesen palsu yang tidak akan disenaraikan dalam sistem JPJ.

Artikel Lain