KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berumur 19 tahun yang ditahan kerana dipercayai cuba membuang bayi lelaki yang baharu dilahirkannya pada Selasa, dibebaskan dengan jaminan polis, Rabu. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata remaja itu dibebaskan atas faktor kesihatan pagi tadi sehingga kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. "Teman lelakinya yang berumur 17 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, remaja perempuan itu mendakwa menemui bayi lelaki berbalut kain hitam dan masih bertali pusat tergantung pada jeriji tingkap biliknya di Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor. Bagaimanapun remaja itu akhirnya mengaku melahirkan bayi itu di dalam biliknya pada 6.45 pagi hari yang sama. Dia dikatakan menipu ibunya bagi menyembunyikan kelahiran itu.