suria

Pabila Bulu Roma Tegak Meremang

DOHA sudah memasuki fasa kedua dalam perubahan cuaca. Dari terik yang menggigit, sekarang sejuk memeluk erat sehingga menggigil.

Peralihan dari panas ke sejuk mengundang bencana tekak kepada ramai warga, termasuk kami di Bangunan 25. Oh, tapi itu cerita lain. Nanti-nanti aku cerita.

Misteri pintu diterjah dari luar masih belum terungkai, kini timbul dua misteri baru. Suara bayi dan perempuan menangis.

Sudah lebih enam bulan selepas kali pertama aku dan Harith mendengar suara tersebut. Kedatangan musim sejuk sedikit sebanyak menambahkan keseraman. Sementelah suara-suara itu muncul dari selepas Maghrib sehingga awal pagi.

Mendayu-dayu dan sayu. Itu rutin, dan kadang-kadang ia diselangi dengan terjahan pintu dari luar.

Mula-mula aku fikirkan hanya rumah kami saja yang diganggu tetapi setelah diselidiki hasil dari perbualan dengan penghuni rumah nombor satu, 15 dan 17, boleh disimpulkan mereka juga ada menerima gangguan.

Rumah 17 di tingkat enam misalnya, selalu diganggu dengan bunyi loceng. Apabila pintu di buka tiada sesiapa pun di luar.

Kami melepak di ruang tamu petang itu. Menonton filem. Tiba-tiba loceng rumah ditekan. Anifi membuka pintu dan terpacul Along di depan pintu.



“Ha, Along. Awat?” tanya aku.

“Lepak jap dengan kau oranglah,” balas Along.

“Aku seorang saja kat atas tadi.”

“Mana yang lain?” tanya aku.

“Keluar. Pergi mana entah.”

“Lain macam je kau ni Long. Kenapa?”

“Entah. Aku nak cerita pun tak tahu nak cerita macam mana.”

Aku bingkas duduk. Harith dan Anifi yang telah sedia duduk memandang Along. Suara televisyen diperlahankan.

“Ada kena kacau ke?” tanya Harith.

“Agaknya kot. Aku keliru sikit ni ha ha,” gelak Along.

“Tadi aku baring di ruang tamu. Tiba-tiba pintu bilik air dihempas kuat. Terkejut aku. Tu yang aku lari turun ni.”

“Angin kot?” duga Anifi.

“Angin celah mana? Pintu gelangsar tutup. Lagi pun daun pintu tandas tu kan berat, takkan angin dari penghawa dingin?”

“Dah tu? Tidur sini jelah malam ni?” cadang aku.

“Eh, takyahlah. Kejap je ni. Tunggu dia orang balik kang aku naiklah.”

Esoknya di tempat kerja, cerita Along kena kacau jadi topik hangat. Bermacam-macam teori keluar memancing gelak ketawa.

“Q pun pernah kena,” cerita Along lagi.

“Q kene macam mana pulak?” tanya Zul Pacak.

“Tengah mandi. Orang ketuk pintu bilik air. Pastu tanya aku ada ketuk pintu ke tak? Memang bukan aku lah. Ha ha.”

Malam itu Amir datang ke rumah. Lepak sementara menunggu Amin bersiap. Hendak pergi makan katanya. Sedang kami berbual di ruang tamu, Amin datang memberitahu Hilmi tak dapat penerbangan. Penuh.

“Habis tu, macam mana?” tanya Amir.

“Entah. Dia kata nak datang sini. Nak pinjam komputer riba. Nak beli tiket baru,” jawab Amin.

“Oh, oklah. Kita tunggu dia.”

Amin masuk ke bilik kemudiannya. Dan aku meneman Amir berbual dan sambil-sambil itu kami menonton tv juga. Topik perbualan tiada lain, fasal gangguan di Bangunan 25 ini.

TING!

Bunyi loceng rumah ditekan.



“Ha. Hilmi la tu kot,” teka Amir.

Aku dan Amir bangun serentak. Kami berjalan menuju ke pintu. Tanpa sebarang syak wasangka tentang apa-apa. Atau terfikir sesuatu yang menyeramkan, atau terlintas sebarang perkara tidak elok, aku membuka pintu.

Sejurus pintu terbuka luas. Aku dan Amir tergamam. Aku mengambil masa lima saat untuk memproses realiti bahawa tidak ada sesiapa pun di depan pintu kala itu.

Dan kemudian bukan sahaja bulu roma, setiap bulu yang ada di tubuh badan aku tegak berdiri seserentak mata aku yang sepet ini membuntang.

Aku menghempas pintu itu sekuat hati dan menjerit lari ke ruang tamu. Amir turut menjerit kecil sambil menurut aku ke ruang tamu.

“Aku dah kata dah! Aku dah kata dah!” jerit Amir.

“Kenapa? Kenapa?” tegur Anifi.

Aku memberitahu Anifi apa yang berlaku. Belum sempat aku menghabiskan cerita, TING!

Loceng rumah kembali bergema. Aku dan Amir terkejut. Anifi memandang pintu. Dan bergerak perlahan kearahnya.

“Jangan buka Anip!” tegah aku.

Anifi memandang aku, “Tak ada apalah,” ujarnya. Dan perlahan membuka pintu.

Hilmi berdiri di depan pintu sambil tersengih. Aku dan Amir menarik nafas lega.

“Hilmi je kot,” tegur Anifi sambil ketawa.

Aku tidak berpuas hati. Aku tanya Hilmi, “Mi tadi kau ada datang tekan loceng ke?”

“Tadi?”

“Ha la. Tadi. Sebelum yang ini.”

“Oh ada ada.  Aku tekan loceng pastu aku lari balik rumah teringat pengecas telefon bimbit tertinggal,” jelas Hilmi sebelum membontoti Amin ke bilik untuk membeli tiket.

Anifi dan Amir gelak bersungguh.

“Hampeh kau Mi!” jerit aku sebelum ketawa bersama dengan Anifi dan Amir.

Itulah. Kadang-kadang tidak ada apa-apa pun. Tapi sebab fikiran kita hanya tertumpu tentang perkara itu, maka fokus yang diberi hanya terarah tentang itu. Biar apa pun ia, kita perlu berpijak ke dunia nyata. Setiap perkara tentu ada penjelasan walau kadang-kadang ia sukar diperjelaskan.

“Rumah atas ni, berpindah ke gamaknya?” tanya aku di satu pagi yang mendamaikan.

“Kenapa?” tanya Anifi balik.

“Taklah, sejak malam tadi tolak perabot. Sampai ni dah pukul 9 pagi tak habis-habis lagi,” jelas aku.

“Aku rasa, lama dah dia tolak-tolak perabot ni.” Kata Anifi.

“Eh? Yeke?” aku hairan. Aku cuba ingat jika aku ada perasan. Tetapi tidak ada. Anifi memandang aku sambil tersengih-sengih.

“Takutlah tu. Ha ha.”

Aku mencebik, bangkit kemudiannya dan masuk ke bilik. Dan aneh, bunyi orang susun perabot tadi kini berpindah ke dalam bilik pula.

“Tak apalah Labu, kau nak buat bunyi tolak perabot kau buatlah. Jangan kau tolak perabot dalam rumah ini betul-betul sudahlah,” bisik hati aku.

Dan betullah kata orang, berhati-hati dengan apa yang kau harapkan. Bisikan hati aku tadi rupanya dianggap cabaran oleh pihak di sebelah “sana”. Dan aku bakal menyesal.

Bangunan 25, Doha

Artikel Lain