suria

Warga Korea Utara Dikenakan Visa Bermula 6 Mac - Zahid

PUTRAJAYA: Berkuatkuasa 6 Mac ini, semua warga Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia dikenakan visa, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan yang akan diwartakan segera itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan negara sebagai keutamaan.

"Diharap langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen demi keselamatan negara," katanya yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KDN di sini, Khamis.

Ketetapan ini besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan kematian Kim Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin Korea Utara dalam insiden pembunuhan di KLIA2 pada 13 Februari lalu, selain pelbagai isu yang timbul akibat tindakan negara itu yang enggan memberi kerjasama untuk membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan diberi taklimat oleh penasihat perundangan Kementerian Dalam Negeri dan pejabat Peguam Negara berhubung status pakar kimia yang ditahan berhubung kematian Jong-nam.

"Kita akan tahu dalam beberapa jam lagi sama ada lelaki berkenaan akan dibebaskan atau siasatan akan dijalankan mengikut Akta Imigresen atau dihantar pulang," katanya.

Menurut laporan yang disiarkan, warga Korea Utara, Ri Jong Chol itu dijangka dibebaskan apabila tempoh tahanan remannya tamat Jumaat ini.

Korea Utara, Zahid

Artikel Lain