suria

Jong-chol Tuduh Malaysia Konspirasi Jatuhkan Korea Utara

Ri Jong-chol bercakap kepada pihak media dari pagar bangunan Kedutaan Korea Utara di Beijing, awal pagi Sabtu. -fotoAP
BEIJING: Suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam yang diusir dari Malaysia, Ri Jong-chol berkata di Beijing bahawa dia menjadi mangsa konspirasi oleh pihak berkuasa Malaysia yang cuba merosakkan maruah Korea Utara.

Jong-chol, dari Korea Utara menuduh Malaysia menggunakan paksaan dalam usaha mendapatkan pengakuan daripadanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita di luar kedutaan Korea Utara di Beijing pada Sabtu.

Jong-nam telah dibunuh pada 13 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2, selepas diserang oleh dua wanita yang menyapu mukanya dengan senjata kimia agen saraf VX, menurut polis Malaysia.

Bahan kimia itu diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Pembunuhan Jong-nam telah menyebabkan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara yang telah mengekalkan hubungan persahabatan selama beberapa dekad menjadi tegang.

Jong-chol berkata dia tidak berada di lapangan terbang pada hari pembunuhan itu dan tidak tahu menahu tentang tuduhan bahawa keretanya telah digunakan dalam kes tersebut.


Jong-chol berada di Beijing dalam perjalanan ke Korea Utara selepas Malaysia membuat pengusiran terhadapnya.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing awal pagi Sabtu telah disambut oleh sekumpulan pemberita Korea Selatan dan Jepun.

Dia bagaimanapun telah dibawa keluar dari situ oleh polis China sebelum dia sempat membuat sebarang kenyataan.

Di luar kedutaan, Jong-chol memberitahu pemberita bahawa dia telah diberikan bukti palsu di Malaysia dan polis menunjukkan kepadanya gambar keluarganya dalam tahanan.

"Saya sedar bahawa ini adalah satu konspirasi, plot, untuk cuba merosakkan status dan maruah republik itu," katanya.

Perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat berkata pembunuhan itu dirancang oleh ejen-ejen Korea Utara.
konspirasi, Ri Jong-chol, Beijing

Artikel Lain