suria

Pembunuhan Jong-nam: Seorang Diusir, Dua Dikehendaki

PUTRAJAYA: Lelaki Korea Utara, Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, telah diusir pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan Jong-chol kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 9.30 pagi Jumaat untuk tujuan pengusiran ke negara asal sebagaimana diputuskan Jabatan Peguam Negara.

"Beliau dijadualkan akan berlepas ke negara asal pada hari ini (Jumaat)," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Jong-chol, 47, diiringi dua wakil Kedutaan Korea Utara untuk penghantaran pulang itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Khamis berkata Jong-chol, yang direman sejak 18 Februari lepas, akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan kekurangan bukti untuk mendakwa.

Jong-chol dengan baju kalis peluru tiba di kawasan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di sini kira-kira 9.17 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan kawalan ketat polis untuk proses dokumentasi penghantaran pulang.

-fotoBERNAMA

Kenderaan yang membawa Jong-chol dibawa terus ke tempat letak kereta aras bawah tanah JIM bagi mengelak kumpulan media yang telah berkumpul di pintu utama Ibu Pejabat JIM seawal 6.30 pagi.

Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu-song turut kelihatan di ibu pejabat Jabatan Imigresen.

Beliau dilihat memasuki bangunan itu pada kira-kira 10.10 pagi dan keluar dua jam kemudian tanpa memberikan komen kepada media tentang tujuan kedatangannya.

Selepas kira-kira enam jam berada di ibu pejabat Jabatan Imigresen itu, Jong-chol meninggalkan bangunan itu dalam kereta peronda polis.

Tempoh reman Jong-chol yang direman sejak 18 Februari berhubung kes pembunuhan Jong Nam tamat pada Jumaat.

Di SEPANG, kira-kira 100 petugas media tempatan dan asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi tumpuan kenderaan dengan plat khas kedutaan dan akan mengejar kenderaan sedemikian apabila ia menghampiri kawasan lapangan terbang itu.

Pada kira-kira 3.15 petang, sebuah kenderaan BMW yang memperlahankan pergerakannya di KLIA menarik perhatian media apabila seorang wanita dan dua orang kanak-kanak di dalamnya, dipercayai ahli keluarga Jong-chol kelihatan menekup muka masing-masing bagi mengelak foto mereka diambil dan menyebabkan kenderaan itu hanya berlalu tanpa berhenti.



Yu-song yang dilihat berada di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 3.30 petang dikerumun kumpulan media yang bertanyakan tujuan beliau ke lapangan terbang itu.

Beliau dipercayai berada di situ untuk membantu mengatur pertemuan dengan ahli keluarga sebelum Jong-chol berlepas.

"No comment (tiada ulasan)," katanya.



Jong-chol dipercayai dibawa ke KLIA melalui laluan khas yang tidak boleh diakses media.

Beliau menaiki penerbangan MH360 ke Beijing sebelum mengambil satu lagi penerbangan ke Pyongyang.

Sementara itu, Bukit Aman telah mengeluarkan waran tangkap ke atas kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo, Kim Uk-il, 37 bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengesahkan pihaknya telah menghantar surat menerusi Wisma Putra meminta kerjasama setiausaha kedua kedutaan Korea Utara, Hyon Kwan-song.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu lepas atas tuduhan membunuh Jong-nam.

Artikel Lain