suria

100 Tiket Penerbangan Percuma Menanti Pengunjung Bertuah Karnival Karangkraf

SHAH ALAM: Karnival Karangkraf 2017 menampilkan kelainan apabila menawarkan 100 tiket penerbangan percuma ke pelbagai destinasi di dalam dan luar negara khusus buat pengunjung bertuah yang mendaftar sebagai pengundi.

Inisiatif menerusi Kempen Jom Kita Daftar Undi pada penganjuran karnival kali ke sembilan ini hasil kerjasama Kumpulan Media Karangkraf, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd. 

Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tawaran itu terbuka sepanjang tiga hari berlangsungnya karnival yang akan berakhir Ahad ini.

"Golongan muda yang layak tetapi masih belum berdaftar boleh berbuat demikian di pejabat bergerak SPR yang berada di sini sepanjang penganjuran karnival ini.

"Karnival yang dijangka menarik kehadiran hampir 600,000 pengunjung ini sesuai untuk menambah bilangan pengundi berdaftar dan istimewanya kali ini mereka yang bertuah akan mendapat tiket penerbangan percuma," katanya ketika ditemui di tapak karnival itu, Sabtu.

Acara tahunan yang berlangsung di pekarangan Kompleks Media Karangkraf di Seksyen 15, di sini memfokuskan penglibatan peniaga atas talian dan peniaga kecil.

Hussamuddin berkata, satu lagi kelainan pada karnival kali ini adalah kerjasama pihaknya dengan SifuFBads yang terkenal dikalangan ushawan atas talian.

"Kali ini, pelanggan, pembekal dan orang ramai boleh mengambil peluang untuk berinteraksi dan bersua muka dengan penulis serta editor kegemaran mereka.

"Selain itu, mereka boleh membeli produk-produk Karangkraf pada harga murah, selain menikmati tawaran dan hadiah menarik," katanya sambil menambah potongan harga sehingga 90 peratus diberikan untuk buku dan majalah terbitan syarikat itu.

Acara yang bermula pukul 9 pagi ini dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan diserikan dengan persembahan seni silat cekak Hanafi.

Aktiviti yang turut mendapat perhatian pengunjung pada karnival itu termasuk wacana ilmiah "Masuk Syurga Sekeluarga" dan pertandingan mewarna Didi & Friends.

Selain itu, kehadiran artis terkenal, antaranya Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly turut memeriahkan karnival itu.



Karnival Karangkraf, AirAsia, SPR

Artikel Lain