suria

Kolaborasi The Star, Sinar Harian Mampu Tembus Pasaran Pembaca Baharu

SHAH ALAM: Kolaborasi yang terjalin antara The Star dan Sinar Harian menerusi pakej ePaper merangkumi akhbar digital dua bahasa berbeza itu diyakini mampu menembusi pasaran pembaca baharu.

Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi kerjasama dengan Kumpulan Media Star itu, Sinar Harian yang sinonim untuk pasaran media bahasa Melayu kini mampu melangkah melebihi had.

"The Star memiliki kekuatan di kalangan pembaca berbahasa Inggeris, manakala Sinar Harian untuk media berbahasa Melayu.

"Kolaborasi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak memecahkan jurang diantara pembaca bagi kedua-dua bahasa itu," katanya ketika melawat Karnival Karangkraf di ibu pejabat kumpulan media itu di Seksyen 15 di sini.

Berkongsi visi yang sama kata Hussamuddin, hubungan baik diantara pengurusan tertinggi The Star dan Sinar Harian juga membawa kepada rundingan kolaborasi sejak enam bulan lalu menjadi kenyataan.

Kerjasama ini yang memfokuskan kepada rakyat Malaysia yang mampu berbahasa Melayu dan Inggeris, katanya, ia mampu mendekati lebih ramai pembaca melalui platform digital yang ditawarkan.

"Melalui kerjasama ini, organisasi yang dimonopoli bangsa Melayu (Sinar Harian) dengan organisasi yang dimiliki golongan bukan melayu (The Star) merupakan tahap pencapaian baharu yang boleh dibanggakan," ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau teruja dengan kerjasama ini dan berharap lebih banyak kolaborasi diantara kedua pihak dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Meskipun laporan The Star dan Sinar Harian berbeza, melalui kolaborasi ini pembaca ditawarkan dengan laporan pemberitaan yang baharu pada harga murah.

Kerjasama yang dilancarkan pada Jumaat itu menawarkan pakej langganan ePaper untuk hanya RM199 setahun menerusi https://newsstand.thestar.com.my atau menghubungi talian 1300-88-7827 dari Isnin ke Jumaat (8.30 pagi hingga 7.30 malam).




Artikel Lain