suria

MH370:"Saya Juga Kecewa" - Tiong Lai

Datuk Seri Liow Tiong Lai memeluk anak penumpang MH370, Paul Weeks yang berusia tiga tahun, Jack dan abangnya, Lincoln, 6 sambil diperhatian isteri Paul. Danica pada majlis Mengenang MH370 di Publika, Sabtu.

KUALA LUMPUR: "Saya juga kecewa," demikian luahan hati Datuk Seri Liow Tiong Lai, selepas hampir tiga tahun persoalan mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 masih belum terungkai.

Menteri Pengangkutan itu berkata, kerajaan tidak pernah berhasrat untuk menghentikan sepenuhnya carian yang ditangguhkan pada 17 Januari lalu, sebaliknya sedang berusaha mencari jalan untuk membolehkan ia diteruskan.

"Setiap hari saya berharap kita dapat mencari jawapan kepada tragedi ini kerana kami masih lagi berhutang dengan keluarga, rakan dan orang tersayang bagi setiap penumpang dan kru yang berada di atas pesawat.

"Saya kecewa apabila setiap kali saya mendapat laporan bahawa carian masih tak dapat mengenal pasti lokasi dan maklumat yang dikemaskini tidak dapat memberikan keputusan positif," katanya semasa berucap pada Hari Memperingati MH370 di sini, Sabtu.

Tiong Lai berkata, membuat keputusan mengangguhkan carian MH370 di selatan Lautan Hindi tidak mudah bagi kerajaan dan beliau mengakui kesannya dirasai dengan mendalam oleh semua yang terlibat.

"Saya faham anda mahukan jawapan dan percayalah saya juga mahukannya, begitu juga kerajaan," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas ucapannya, Tiong Lai berkata, kerajaan kini menunggu lebih banyak data  kukuh sebelum meneruskan carian yang ditangguhkan itu.

Jelasnya, berdasarkan data yang boleh dipercayai, penyiasat akan dapat membuat carian di lokasi yang mungkin mempunyai serpihan MH370.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dana bukanlah menjadi sebab penangguhan carian.

"Dana tak jadi isu. Kita hanya mahu lebih kepastian sebelum meneruskan carian," katanya.

Tiong Lai berkata, setakat ini sebanyak 27 serpihan telah ditemui dan hanya tiga disahkan milih penerbangan MH370.

Pesawat Boeing 777 itu hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 dengan  239 penumpang dan anak kapal.

MH370, Liow Tiong Lai

Artikel Lain