suria

'Datuk' Antara 29 Anggota Geng 360 Devan Didakwa

Anggota polis berkawal di sekitar mahkamah sepanjang kes melibatkan 29 anggota Geng 360 Devan di Mahkamah Sesyen Kajang, Isnin.

KAJANG: Sekumpulan 29 lelaki, termasuk yang bergelar 'Datuk' dipercayai anggota Geng 360 Devan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin.

Mereka dituduh terlibat dalam kegiatan jenayah terancang sebagai sebahagian aktiviti geng berkenaan.

Kesalahan didakwa berlaku antara 1 Januari hingga 11 Februari di pejabat MV Empayer Sdn Bhd, Japan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130 (1) Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Semua tertuduh mengaku faham pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P. Kunyalam memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menggesa supaya tiada wang ikat jamin dibenarkan kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh diikat jamin.

Majistret Noridah Adam menolak ikat jamin dan menetapkan 18 April untuk sebutan kes itu dan memutuskan sama ada ia akan dipindahkan ke Shah Alam atau sebaliknya.

Galeri awam dipenuhi dengan saudara mara tertuduh yang ditahan sejak sebulan lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Februari lalu.

Lebih 10 anggota polis beruniform berkawal sepanjang perbicaraan bersama anggota berpakaian preman.


Artikel Lain