suria

Kang Chol Akhirnya Tinggalkan Kedutaan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Duta Korea Utara Ke Malaysia, Kang Chol akhirnya meninggalkan kedutaan negara itu di Bukit Damansara di sini, pada petang Isnin.

Kang Chol yang diisytiharkan sebagai Persona Non Grata oleh kerajaan Malaysia keluar dari bangunan kedutaan di Jalan Batai pada pukul 3.56 petang.

Beliau yang memakai sut gelap dilihat menaiki kenderaan jenis Jaguar berwarna hitam, nombor pendaftaran kedutaan 28-01-DC, bersama seorang wanita dipercayai isterinya dan kanak-kanak perempuan.

Kang Chol yang menjadi individu yang 'ditunggu-tunggu' pihak media terutama selepas diarah meninggalkan negara ini pada Sabtu lalu telah muncul di pintu kedutaan kira-kira pukul 3.50 petang dan sempat memandang ke arah pihak media.

Tidak lama kemudian beliau masuk ke dalam kereta dan duduk di hadapan bersebelahan pemandu, manakala wanita berkenaan duduk di belakang.

Beliau bagaimanapun langsung tidak menjawab sebarang pertanyaan wartawan yang diajukan dari luar pagar.

Berlaku sedikit kekecohan sebaik sahaja kenderaan tersebut melepasi pintu pagar kedutaan apabila kenderaan itu dilihat mahu segera memecut sambil membunyikan hon menyebabkan sekumpulan media terpaksa lari bertempiaran untuk mengelak dilanggar.

Terdahulu keadaan di sekitar kedutaan yang dipenuhi lebih 100 media tempatan dan antarabangsa tenang dengan pasukan polis tiba memantau situasi pada pukul 2 petang.

Kang Chol dijangka menaiki penerbangan MH360 ke Beijing jam 6.25 petang ini sebelum kembali ke negaranya.

Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Korea Utara pada Sabtu mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata dan beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam bermula 6 petang hari yang sama.

Ini bermakna tempoh yang diberikan untuk Kang Chol meninggalkan Malaysia akan tamat pada 6 petang ini.

Pengusiran Kang Chol dibuat susulan kegagalan berjumpa dengan pihak Kementerian Luar dan keengganan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis berikutan dakwaan negatif yang dibuatnya terhadap Malaysia sebelum ini berhubung siasatan polis terhadap pembunuhan Jong-nam abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.






Artikel Sebelum

Artikel Lain