suria

Dua Individu Disekat Keluar Dari Kedutaan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa serta merta, pegawai Kedutaan Korea Utara di sini telah dilarang meninggalkan bangunan pejabat itu di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini.

Pegawai polis dilihat mengawal dan menyekat jalan masuk ke kedutaan dari kedua-dua arah dan memasang garisan polis di hadapan pintu pagar bangunan.

Anggota polis yang lengkap bersenjata turut berada di premis itu, situasi pertama kali dilihat di sini selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam, 13 Februari lalu.

Situasi menjadi sedikit tegang apabila seorang lelaki dan seorang wanita mahu meningglkan bangunan kedutaan kira -kira pukul 12.20 tengah hari tetapi hasrat mereka digagalkan pihak polis.

Sebaik sahaja pintu pagar automatik dibuka, dua kenderaan polis diparkir di depan pintu pagar untuk menghalang kenderaan itu daripada keluar.

Melihat pagar disekat, kereta berkenaan terus dipandu masuk semula ke dalam bangunan.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan  Mohamed berkata, sekatan ini bersifat sementara untuk mengenal pasti jumlah pegawai dan staf kedutaan secara fizikal walaupun kementerian mempunyai rekod mengenai diri mereka di sini.

"Sekatan ini hanya sementara untuk mengenal pasti mereka secara fizikal.

"Pegawai dan staf kita di Korea Utara juga telah disekat untuk keluar dari kedutaan," katanya.

Katanya, beliau berada di sini untuk makan tengah hari tetapi singgah untuk melihat situasi semasa.

Beliau berkata, sekatan akan ditamatkan selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan jumlah dan siapa yang berada di premis berkenaan.

Artikel Lain