suria

Lima Ahli Perniagaan Didakwa Tawar Rasuah Kepada Pegawai Imigresen

MIRI: Lima ahli perniagaan, secara berasingan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Miri (Rasuah) atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai imigresen.

Zubair Muhamad Fazal Mahmood, 25, Hayat Ullah Said Afzal Khan, 37, Asghar Khan, 35, dan Asghar Ali Hanif-Ur-Rahman, 40, yang merupakan warga Pakistan manakala Abdullah Mohd Ali, 55, warga Malaysia, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing. 

Zubair didakwa menawarkan RM500 kepada seorang pegawai imigresen sebagai dorongan untuk menghalangnya daripada mengambil tindakan terhadap dirinya yang didakwa menggaji pekerja Indonesia yang menyalah gunakan pas lawatan sosialnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Perabot Wakil Khan Sdn Bhd, Jalan Batu Niah pada 4.30 petang, 24 Nov 2015. Hayat pula didakwa menawarkan RM200 kepada seorang pegawai imigresen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang daripada anaknya yang didakwa tidak mempunyai pasport sah. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hayatullah Trading Sdn Bhd Batu Niah Bazaar pada 4.41 petang, 24 Nov 2015. Asghar Khan didakwa menawarkan  RM100 kepada seorang pegawai imigresen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya yang didakwa menggaji seorang pekerja yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bonanza Digital Sdn Bhd di Lambir pada 11 pagi, 28 April 2016. Abdullah didakwa menawarkan RM500 kepada seorang pegawai imigresen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya yang didakwa menggaji seorang pekerja asing tanpa pasport dan permit kerja sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Aneka Carpet Sdn Bhd, Permymall pada5.45 petang, 28 April 2016.

Asghar Ali didakwa menawarkan RM300 kepada seorang pegawai imigresen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya yang didakwa menggaji pekerja asing tanpa pasport dan permit kerja sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Azhar Furniture, Jalan Miri-Bintulu pada 4 petang, 27 April 2016.

Jika disabit kesalahan, setiap tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. 

Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di Pejabat SPRM Miri setiap Jumaat sehingga kes selesai dan menetapkan 30 Mac bagi sebutan semula kes.

Kelima-lima tertuduh diwakili peguam Ranbhir Singh Sangha manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jamal Ayub, Ikhwan Mohd Ibrahim dan Katherine Nais. -Bernama

Rasuah, Pegawai imigresen

Artikel Lain