PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) memuji cara Malaysia dalam mengendalikan kes pembunuhan Kim Jong-nam dan menyifatkan tindakan Korea Utara patut dikeji. Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS berkaitan Hal Ehwal Asia Timur dan Pacifik, Daniel Russel berkata polis Malaysia telah melakukan siasatan secara profesional dan amat mengagumkan berhubung kes pembunuhan itu berdasarkan fakta. "Saya mahu menyatakan rasa hormat dan kagum terhadap profesionalisme pihak berkuasa undang-undang Malaysia yang menjalankan siasatan dengan baik berdasarkan fakta dengan cepat, profesional dan canggih," kata Russel kepada pemberita dalam sidang video dari Washington pada Rabu. Beberapa diplomat kanan AS mengkritik tindakan Pyongyang termasuk arahan melarang rakyat Malaysia dari meninggalkan negara itu. Beliau juga secara terbuka mengkritik Korea Utara terlibat dalam pembunuhan Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un yang maut akibat diserang dua wanita dengan cecair beracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu. "Saya bersimpati terhadap Malaysia atas sebab itu," katanya. Russel berkata Wisma Malaysia bertindak mengikut haknya untuk mengisytiharkan Duta Korea Utara, Kang Chol sebagai persona non grata dan mengusir beliau keluar dari negara ini berikutan ketegangan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang semakin memuncak. "Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara amat dikesali tetapi saya memahami sepenuhnya tindakan Kementerian Luar dan Perdana Malaysia untuk melaksanakan hak mereka di bawah Konvensyen Vienna," katanya.