PETALING JAYA: Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) menggesa kerajaan membatalkan visa yang diberikan kepada pendakwah Dr Zakir Naik. Dalam satu kenyataan pada Rabu, majlis itu melahirkan rasa kesal dengan pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan untuk mencegah Dr Zakir, seorang warga India daripada memasuki negara ini. "Malaysia mempunyai reputasi sebagai sebuah negara demokrasi bertolak ansur, berbilang agama dan majmuk. Ia juga meletakkan diri sebagai sebuah negara Islam sederhana," kata MCCBCHST dalam satu kenyataan, Rabu. Katanya, tindakan pendakwah agama itu yang mempunyai kecenderungan untuk menghasut kebencian dan penghinaan ke atas amalan, ritual dan makanan kumpulan etno-agama lain adalah sama sekali tidak boleh diterima. Majlis itu juga merujuk kepada bahagian-bahagian tertentu Kanun Keseksaan Malaysia yang melindungi tindakan menyinggung perasaan penganut agama lain serta tindakan yang memupuk kebencian atau ketidakharmonian atas alasan agama. Menurut kenyataan itu, Dr Zakir adalah sangat provokatif untuk masyarakat bukan Islam, sambil menambah bahawa beliau telah dilarang memasuki negara-negara tertentu. "Oleh itu MCCBCHST menyeru kerajaan untuk menarik balik visa yang diberikan kepada Dr Zakir Naik untuk berada di Malaysia," katanya.