suria

140 Rakyat Korea Utara Ditahan Tidak Miliki Permit Sah

GAMBAR HIASAN

KUCHING: Jabatan Imigresen Sarawak menahan kira-kira 140 rakyat Korea Utara di negeri ini atas kesalahan permit kerja mereka telah tamat tempoh, ujar Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Kerajaan negeri, kata beliau, menunggu arahan lanjut daripada Putrajaya sama ada kesemua mereka dihantar pulang susulan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara yang mengenakan sekatan keluar dari negara masing-masing.

"Lebih 170 rakyat Korea Utara berada di sini dan sebahagian daripada mereka tinggal secara haram selepas permit bekerja tamat tempoh.

"Isu tersebut kini dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Sarawak.

"Persoalannya adalah bolehkah pesalah ini diusir atau tidak? Proses penghantaran pulang perlu dilakukan kerana mereka tinggal secara haram tetapi berdasarkan situasi diplomatik pada masa ini, kita perlu mendapatkan arahan jelas daripada Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Abang Johari berkata, rakyat Korea Utara yang memegang permit kerja tamat tempoh digaji oleh syarikat swasta dalam bidang pembinaan dan perlombongan arang batu.

Antara mereka yang ditahan termasuk 37 pekerja binaan yang ditahan di tapak projek di Kuala Tatau berdekatan Bintulu pada Selasa selepas mereka didapati menyalahguna pas lawatan sosial dan duduk melebihi tempoh yang dibenarkan.

Turut dilaporkan, pekerja Korea Utara itu ditahani menerusi operasi bersama Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Polis Marin.

Abang Johari berkata, terdapat 36 rakyat Korea Utara yang memegang permit sah dan masih bekerja di negeri itu.

"Kesemua mereka dibawa ke sini atas kepakaran dalam bidang pembinaan, perlombongan dan tenaga hidro.

"Mereka dibawa ke sini sebelum kontroversi (Malaysia-Korea Utara) bermula lagi," katanya.

Artikel Sebelum

Exco Johor Ditahan SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain