suria

Rani Kulup Bawa Misi Keamanan Di Kedutaan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah menyambut hari jadinya di Kedutaan Korea Utara dengan membawa misi keamanan.

Abdul Rani yang hadir ke kedutaan bersama penyokongnya sambil membawa sepanduk perdamaian tengah hari Jumaat berkata kehadirannya di sini bagi menggesa Malaysia dan Korea Utara segera mengambil langkah berdamai.

"Dua minggu lepas saya hantar sini hantar memorandum, hari-hari saya lihat perkembangan isu ini dan saya nampak perkembangan semakin baik.

"Sepanduk ini menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia cintakan keamanan dan perpaduan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Abdul Rani yang lebih dikenali dengan panggilan 'ayah' turut menasihati rakyat di negara ini khususnya netizen supaya tidak beremosi dalam membincangkan isu ini.

Katanya, rakyat harus yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak berkuasa dalam berdepan kemelut ini.

"Jangan geram-geram. Yang komen di Facebook tu dia 'gatal tangan', benda tiada apa-apa pun saja dia buat kucar kacir.

"Kita percaya kepada perdana menteri dan pasukan keselamatan.. rakyat hidup macam biasa mana ada hantar meriam buluh atau sebagainya," katanya mengenai komen-komen negatif kes pembunuhan Kim Jong-nam di media sosial.

Abdul Rani berkata demi menuntut keamanan, beliau sanggup datang ke sini walaupun hari ini adalah hari jadinya.

"Hari ini adalah hari jadi saya. Ia sangat bermakna bagi saya dan saya datang ke sini demi keamanan rakyat Malaysia," katanya

Sementara itu Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay berharap agar hubungan dua negara dapat dipulihkan seperti sediakala.

"Terima kasih Korea Utara kerana melepaskan dua rakyat Malaysia.

"Kita harap sembilan lagi rakyat Malaysia di sana turut dibebaskan atau dibiarkan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Situasi di Kedutaan Korea Utara masih menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa sehingga hari ini.

Bagaimanapun keadaan tenang dengan pegawai dan kakitangan kedutaan dibenarkan keluar dan masuk bangunan tanpa sebarang halangan.

Rani Kulop, Korea Utara

Artikel Lain