GEORGE TOWN: Seorang suri rumah berusia 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini atas dua pertuduhan mencederakan dan membunuh dua pembantu rumahnya. Di Mahkamah Sesyen, Chan Lay Lee didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap warga Kemboja, Anad menggunakan batang besi seterika di antara Julai 2016 dan 25 Februari tahun ini di sebuah rumah di Lebuhraya Jelutong. Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Chan didakwa membunuh seorang warga Indonesia, Jubaedah pada 25 Februari lalu antara pukul 11 pagi hingga 4.45 petang. Bagi kesalahan itu, Chan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mandatori jika sabit kesalahan. Chan tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon dan majistret Mohamad Amin Shahul Hamid menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh diwakili peguam A. Rubenkumar manakala pendakwaan di Mahkamah Sesyen dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Idris, dan Nurul Fatin Hussin di Mahkamah Majistret. Chan dan suaminya ditahan pada 26 Februari lalu.