KUALA LUMPUR: 'Raja Bomoh Sedunia' sekali lagi melakukan upacara ritual tetapi kali ini di luar perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkaitan kematian Kim Jong-nam. Ibrahim Mat Zin yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP dengan gelaran Datuk Mahaguru menjadi tumpuan media apabila dia tiba di luar perkarangan institut itu kira-kira pukul 6 petang Isnin. Dia melakukan upacara ritual dengan menggunakan sepasang kayu sebagai teropong ketika membaca doa sebelum beredar lima minit kemudian. Pada Ahad, rakaman video berdurasi tiga minit 18 saat itu menunjukkan Ibrahim sedang melakukan upacara ritual di kawasan pantai, kali ini untuk melindungi Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara menjadi tular. Video itu menunjukkan Ibrahim dan tiga pembantu berada di pantai memegang dua biji kelapa, dua batang kayu yang dijadikan teropong, lima meriam buluh, sejadah dan semangkuk air laut. "Upacara kali ini adalah untuk melindungi Malaysia daripada sebarang ancaman atau serangan dari negara-negara lain terutama Korea Utara. "Selain itu, upacara ini juga untuk melembutkan hati pemimpin Korea Utara supaya melepaskan sebelas rakyat Malaysia dengan segera dan menyelesaikan situasi sekarang (pembunuhan Kim Jong-nam ) " kata Ibrahim. Menjelaskan penggunaan meriam buluh, dia berkata upacara ini bukan untuk memprovokasi mana-mana pihak tetapi merupakan peringatan bahawa konflik ini akan diselesaikan tidak lama lagi.