suria

Reman Ketua Pemuda Umno Bahagian, Rakan Wanita Dilanjutkan

Mahkamah Majistret pada Isnin membenarkan sambung tempoh reman selama dua hari ke atas seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian berusia 43 tahun (gambar) dan rakannya seorang peniaga wanita untuk membantu siasatan kes penipuan dengan menawarkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sejak tahun lalu. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Reman ke atas seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian dan rakan wanitanya di sini yang ditahan berhubung dakwaan penipuan penawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dilanjutkan dua hari lagi.

Lanjutan perintah reman kali kedua itu yang bermula Isnin hingga Selasa, dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri, berikutan permohonan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, JSJK, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Utara.

Ini bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya yang berusia 43 dan 41 tahun ditahan polis ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini kira-kira 5 petang pada 7 Mac.

Berikutan penahanan itu, kedua-duanya dibawa ke mahkamah keesokan harinya dan direman selama tiga hari bermula 8 Mac hingga 10 Mac, sebelum disambung hingga 11 Mac.

Mereka kemudian diserahkan kepada IPD Johor Baru Selatan untuk siasatan kes sama pada hari berikutnya (12 Mac).

Menurut polis, kedua-dua terlibat dalam kes penipuan urusan mendapatkan rumah RMMJ terhadap empat orang mangsa hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM120,000.

Kesemua mangsa telah membuat laporan polis. - BERNAMA


RMMJ, reman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain