suria

Semua Ahli Parlimen Perlu Sokong RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak

Najib merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!! di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Isnin. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (kiri), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua, kanan) dan Azalina Othman (kanan). foto NORAFIFI EHSAN/The Star

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen digesa memberi sokongan sepenuhnya agar Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU yang akan dibentang pada sesi kali ini penting sepertimana ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa jenayah jijik itu tidak boleh dikompromi.

"Sepertimana yang ditekankan oleh perdana menteri, kita sama sekali tidak boleh berkompromi dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Perdana menteri semasa merasmikan 'Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!!' di sini Isnin mengumumkan satu undangundang baharu dan khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

Berucap di seminar anjuran Permata, Najib berkata RUU itu memerlukan sokongan semua anggota Parlimen kerana ia adalah tanggungjawab semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk menangani jenayah itu.

Azalina berkata antara perkara baharu yang akan diliputi dalam akta yang bakal diwujudkan itu adalah 'child sexual grooming' atau 'persediaan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual' dan pornografi kanak-kanak.

Katanya penubuhan 'Pasukan Petugas Jenayah Seksual Kanak-Kanak' yang diumum Najib telah membuka ruang dan peluang untuk pelbagai pihak bekerjasama mencari satu pendekatan bagi menangani isu itu.

"Pengumuman perdana menteri untuk mewujudkan satu Mahkamah Jenayah Khas adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi memastikan tiada pesalah jenayah seksual terlepas daripada hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut," tegasnya.

Bagaimanapun kewujudan undang-undang sahaja tidak mencukupi dalam menangani apa-apa masalah jenayah, justeru peranan semua pihak diperlukan untuk memastikan isu ini tidak terus menular dalam masyarakat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain