KOTA KINABALU: Kira-kira 45 buah rumah setinggan di Kampung Muhibah, Likas, dekat sini musnah dijilat api dalam satu kebakaran pada Selasa. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8 pagi dan menggerakkan tiga jentera bomba bersama 44 anggota termasuk 13 anggota bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas ke tempat kejadian. "Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.10 pagi dan kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 8.51 pagi," kata kenyataan itu menurut laporan Bernama. Kepantasan anggota bomba juga dapat menyelamatkan 30 buah rumah daripada dijilat api. "Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang mangsa melecur telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan," menurut kenyataan itu.