suria

Pendakwah Asing Ditapis, Dipantau - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Pendakwah agama dari luar negara melalui tapisan keselamatan dan diberikan tauliah sementara daripada pejabat mufti negeri sebelum berceramah di mana-mana negeri di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata  kerajaan sentiasa memastikan penceramah dikenal pasti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak mempromosikan perpecahan dan perbalahan antara kaum dan agama lain.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, pendakwah Dr Zakir Naik merupakan seorang pendakwah terkenal dan mendapat tempat di seluruh dunia.

"Ceramah yang beliau jalankan juga langsung tidak mempromosikan perpecahan dan perbalahan malah setiap ceramah beliau sering dihadiri tokoh agama bukan Islam," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang mahu kerajaan menyatakan pendirian berhubung kehadiran pendakwah terkenal Dr Zakir ke negara ini.

Ahmad Marzuk juga ingin tahu pendirian kerajaan terhadap bantahan kumpulan aktivis liberal tertentu yang dianggap menceroboh dan tidak menghormati perkara 3(1) Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata Dr Zakir diterima di negara ini berdasarkan ketokohan beliau dalam keilmuan yang dimiliki dan mementingkan hujah-hujah ilmiah dan akademik serta fakta tepat dengan merujuk kepada sumber asli sesuatu agama dalam setiap ceramahnya.

Katanya Malaysia sendiri mengiktiraf ketokohan penceramah itu dan Dr Zakir pernah dianugerah sebagai tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2013.

Jamil Khir berkata kerajaan memilih untuk melaksanakan pendekatan berhikmah dalam memberikan penerangan dan penjelasan terhadap pihak yang mempersoalkan kehadiran penceramah ini.

"Kita juga melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berdasarkan akta dan undang-undang sedia ada.

"Kita ambil langkah penerangan sewajarnya kerana ia melibatkan sensitiviti dengan berbilang kaum dalam negara ini yang boleh menimbulkan keresahan dan menjejaskan serta menggugat keharmonian beragama di dalam negara," katanya.

Menyentuh hal berkaitan, Jamil Khir berkata kemungkinan penolakan sesetengah pihak terhadap Dr Zakir adalah disebabkan pihak berkenaan tidak pernah menyertai sendiri majlis disertai penceramah itu.

"Namun kita lihat semakin lama semakin ramai yang menghampiri apa yang disampaikan oleh beliau dan setiap kali dijemput kita akan pantau keselamatan bagi memastikan tiada isu-isu sensitif dan menyentuh agama yang lain," katanya. - BERNAMA

Jamil Khir Baharom, Zakir Naik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain