suria

Video MPV Rempuh Motosikal Tular

PETALING JAYA: Sebuah video yang dirakam pada petang Selasa menunjukkan sebuah kereta merempuh motosikal di persimpangan Pandan Indah kini tular.

Rakaman berdurasi 21 saat yang direkodkan pada pukul 4.25 petang menerusi kamera yang dipasang di papan pemuka sebuah kereta, dimuat naik oleh Ng Sin Ji, 26 di Facebook.

Ketika berita ini ditulis, rakaman tersebut dikongsi sebanyak 3,906 kali.

Video tersebut menunjukkan pelanggaran sebuah kereta Perodua Alza putih dan sebuah motosikal di mana masing-masing cuba melanggar lampu isyarat merah.

Pemandu kereta Alza merempuh motosikal berkenaan mengakibatkan penunggangnya terpelanting ke seberang jalan.

Penunggang motosikal dilihat terbaring kaku di jalan dan beberapa orang cuba membantunya.

Sin Ji ketika dihubungi The Star Online berkata, kereta itu memecut laju ketika lampu isyarat kuning sebelum bertukar merah.

Pada masa sama, penunggang motosikal yang menunggu di petak kuning dan kemudiannya menyeberangi jalan sebaik sahaja lampu isyarat bertukar.

"Sukar untuk katakan siapa betul siapa salah kerana kedua-duanya melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi lampu isyarat," kata Sin Ji.

Menurut Sin Ji yang merupakan seorang pengurus sumber manusia, pemandu Alza memberhentikan keretanya bagi memeriksa keadaan penunggang motosikal terbabit.

"Penunggang motosikal terbaring di jalan dan tidak dapat bergerak," tambahnya.

Ditanya mengenai tarikh 1 Januari 2013 yang tertera pada bahagian kanan video, Sin Ji berkata, ia merupakan tarikh kamera di papan pemuka selepas ia ditetapkan semula setiap kali ia dipadam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Elias berkata, polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden.

"Saya telah periksa di Hospital Ampang, dan mungkin ada kes yang sama sebagaimana dalam video itu. Bagaimanapun, kita tidak menerima sebarang laporan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain