KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (Miti) akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000 oleh seorang pegawai kementerian itu. Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada SPRM. "Saya percaya siasatan akan dilaksanakan secara adil dan telus," katanya dalam kenyataan pada Rabu. SPRM menahan bekas Pengarah MITI Kelantan di pejabatnya di sebuah jabatan di Putrajaya kira-kira pukul 6 petang Selasa dan dibawa ke Kota Bharu malam Selasa untuk membantu siasatan kes itu. Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd Husin pada Rabu mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap lelaki yang berumur 35 tahun itu bermula Rabu. Foto Bernama