suria

Tiga Nelayan Maut Kereta Rempuh Lori Kren TNB

Gambar hiasan.

SITIAWAN: Tiga maut manakala dua lagi masing-masing parah dan cedera ringan apabila kereta yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori kren Tenaga Nasional Berhad di Kilometer 42, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Batu 14, Lekir malam Selasa.

Semua mangsa Chuah Yeong Boon, 39, Chuah Soon Kok, 62 dan Tan Siew Hock, 57, mati di tempat kejadian, manakala Lai Kim Hooi, 62, cedera parah serta Ang Kok Keong, 48, mengalami sakit dada.

Kesemuanya beralamat di Pantai Remis dan bekerja sebagai nelayan.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, kesemua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Altis dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Sitiawan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori kren TNB dari arah bertentangan dipercayai hendak membelok ke simpang sebelah kanan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, kereta yang dipandu Chuah Yeong Boon tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kiri lori kren tersebut," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.

Mohd Zailan berkata akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa masing-masing duduk di bahagian pemandu, penumpang hadapan dan belakang, maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

"Mangsa yang cedera parah dan sakit dada sedang mendapatkan rawatan di hospital yang sama," katanya.

Beliau berkata pemandu lori kren, Roslan Abd Aziz, 49, dan penumpang hadapan lori kren berkenaan, Heriadi Alimudin, 30, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Zailan berkata berhubung kes tersebut, pemandu lori kren tersebut ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Ashaari Mat Radzi berkata lapan anggota dan pegawai bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

"Sebaik tiba, dua daripada lima mangsa yang menaiki kereta Toyota Corolla Altis telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital," katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya kira-kira 12.25 tengah malam. - BERNAMA

nelayan, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain