SHAH ALAM: Keluarga mendiang Kim Jong-nam memberi kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lepas. Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dan di mana waris mangsa memberikan kebenaran itu. "Saya difahamkan (keluarga mangsa) serahkan kepada pihak kerajaan untuk urus mayat...kita akan uruskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar "Belia and TN50: Perspektif Keselamatan Negara" di sini pada Khamis. Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di klia2 untuk menaiki pesawat ke Macau. Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Dua wanita warga asing - Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu. Beliau berkata siasatan ke atas kes pembunuhan itu selesai mengikut protokol antarabangsa yang ketat dengan terdapat baki empat suspek untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Mengenai kes lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Baru awal pagi 18 Feb lepas, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah. "Mereka yang menjadi mangsa akan mendapat pembelaan undang-undang sewajarnya. "Kita tak boleh rush (tergesa-gesa)...kita mahu kumpul segala bukti sebab ini kes besar," katanya menurut laporan Bernama.