KUALA LUMPUR: Restoran nasi kandar terkenal Pulau Pinang, LC Restoran Kampung Baru di sini memberi jaminan akan terus menjaga kebersihan dan kualiti makanan di premis itu. Pengurus LC Restoran, Salim Madinah berkata, sejak pembukaan restoran tersebut mereka menitik-beratkan aspek kebersihan dan memperkenalkan konsep dapur terbuka. "Sejak awal lagi kami sudah ada prosedur operasi standard (SOP), kami gunakan sistem dapur terbuka. "Kami tiada dapur tertutup. Kami mahu pelanggan menghidu aroma sebenar masakan yang kami hidangkan," katanya pada sidang media di LC Restoran di sini, Khamis. Untuk membuktikan tahap kebersihan restoran itu, Salim turut mempelawa sesiapa sahaja yang mahu meninjau keadaan di dapur restoran tersebut. "Ya anda boleh datang bila-bila masa tapi dengan kebenaran pada waktu bekerja," katanya. Sebelum itu, Salim bersama tiga lagi pemilik bersama Lokman Madinah, Mohd Faizal Akhbar Ali dan Zainul Alam Abdul Hamid tampil menjelaskan bahawa LC Restoran tiada kaitan dengan Kedai Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan. Sementara itu, menurut Mohd Faizal, kedua-dua restoran tersebut dikendalikan pihak pengurusan berbeza. "Kami nak cerita apa yang berlaku di Line clear tiada kena mengena dengan LC Kampung Baru. Masyarakat ada yang salah anggap apa mengenai hal ini. "Jadi kami nak jelaskan perkara sebenar, LC Kampung Baru berbeza dengan Line Clear di Pulau Pinang," katanya.