KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak satu pasukan tentera dan aset bagi misi kemanusiaan ke Somalia berikutan bencana kemarau di negara itu. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan seramai tiga pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan Diraja ATM kini berada di Riyadh, Arab Saudi. "Turut dihantar adalah pasukan sokongan daripada kumpulan infantri dengan kekuatan satu seksyen (satu pegawai dan 10 anggota) untuk memberi perlindungan keselamatan kepada pasukan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat. Selain itu, katanya sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut diatur gerak untuk membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan. Hishammuddin berkata, keputusan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri selepas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omer Arteh Ghalib di bangunan Parlimen, Selasa lepas. "Dalam pertemuan itu, beliau telah memohon Kementerian Pertahanan untuk menyalurkan bantuan makanan dan perubatan serta kepakaran anggota perubatan ATM ke Somalia," katanya. Hishammuddin berkata, anggota ATM yang berada di Riyadh diatur gerak kerana pengalaman dan pengetahuan yang dimilik mereka selama menjalani latihan di sana. "Pengalaman dalam operasi evakuasi rakyat Malaysia dari Yaman dan latihan bersama Angkatan Tentera Arab Saudi sebelum ini banyak membantu anggota kita membiasakan diri kepada persekitaran dan struktur muka bumi benua tersebut, sekali gus membolehkan kita merancang dan melaksanakan operasi di Somalia," katanya. Menurutnya, Malaysia juga berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan negara-negara seperti Arab Saudi, Bahrain, Qatar dan negara-negara Asean untuk membantu Somalia. - Bernama