suria

Jangan Jadi Musuh Dalam Selimut - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat akan beberapa perkara yang boleh memusnahkan negara, antaranya menjadi musuh dalam selimut atau bersekongkol dengan musuh-musuh negara.

Perdana Menteri berkata mereka ini adalah antara orang yang tidak cintakan negara dan hanya ingin melihat akan kehancurannya.

"Sebagai Perdana Menteri, kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan saya.

Saya akan pastikan Malaysia terus berjaya dan kekal aman serta rakyat terus berpeluang untuk mencari rezeki di negara ini.

"Dalam mencapai objektif tersebut, penting untuk saya mengingatkan semua akan beberapa perkara yang boleh memusnahkan negara kita sendiri," katanya menerusi entri terbaru blog najibrazak.com.

Memperingati peristiwa di Lahad Datu, Najib berkata negara telah kehilangan patriot-patriot berikutan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

"Kita masih ingat lagi peristiwa di Lahad Datu di mana anggota keselamatan telah terkorban kerana wujudnya musuh dalam selimut.

"Ketika itu, pihak pencoroboh telah mendapat maklumat awal akan pergerakan pasukan keselamatan kita dan melakukan serangan hendap di sebuah rumah," katanya.

Baru-baru ini juga, kata beliau, rakyat hampir menjadi mangsa akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bagaikan gunting dalam lipatan sehingga negara hampir kehilangan pelaburan dari Arab Saudi.

Ini berikutan penyebaran fitnah berkenaan keadaan ekonomi negara yang kononnya kerajaan akan bankrap dan bakal tidak mampu membayar gaji perkhidmatan awam.

"Ini tidak benar sama sekali. Alhamdulillah, setelah menunjukkan prestasi sebenar ekonomi negara, Arab Saudi telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM31 bilion di Malaysia melalui syarikat minyak Aramco," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat Malaysia akan mengalami kerugian sekiranya pihak tidak bertanggungjawab tersebut berjaya dalam fitnah mereka.

Berikutan fitnah itu, Najib berkata rakyat sudah pasti akan dinafikan peluang-peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta peluang pendapatan dari sektor sokongan hasil pelaburan Arab Saudi tersebut.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan rasa pelik terhadap bekas pemimpin negara yang turut memburukkan negara dengan berita yang tidak benar sama sekali.

"Menurut beliau, Malaysia adalah antara 10 negara yang korup di dunia. Ini tentunya tidak benar. Sebenarnya, kita berada di tangga ke-55 antara 176 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016, dan sudah tentunya masih wujud ruang untuk penambahbaikan.

"Tetapi untuk berbohong, menyebarkan fitnah dan memburukkan tanah air sendiri, saya soal di manakah semangat cintakan negara pemimpin tersebut?" tanya Najib.

Sebagai pemimpin, beliau menganggap perkara-perkara tersebut sebagai cabaran dan peringatan dalam membina negara yang tercinta.

"Namun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia harus terus mengorak langkah ke hadapan. Dalam menghadapi cabaran, kita juga telah menyaksikan potensi sebenar Malaysia apabila rakyatnya bersatu-padu," kata Najib.

Mengambil contoh acara badminton di Rio, katanya negara hampir memenangi pingat emas Sukan Olimpik manakala pemain bola sepak Faiz Subri berjaya memenangi anugerah Puskas FIFA atas semangat negara dan sokongan rakyat.

"Krisis MH370 dan MH17 juga telah menunjukkan betapa kuatnya Malaysia apabila rakyatnya bersatu dan Insya-Allah, krisis hubungan diplomatik dengan Korea Utara ini juga akan diselesaikan," kata Perdana Menteri.

Selain itu, katanya kesemua rakyat Malaysia adalah patriot-patriot negara walaupun tidak berjuang di medan pertempuran.

"Kita adalah patriot jika kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam," katanya.

Sebagai guru, katanya mereka adalah patriot jika berdedikasi dalam mendidik anak bangsa, ibu-bapa adalah patriot dalam memastikan anak-anak membesar menjadi insan yang berguna manakala rakyat pula harus terus menunjukkan perasaan kasih sayang.

Maka dalam usaha membina negara ini, beliau berkata rakyat harus kekal bersatu dan semangat cintakan negara harus dipupuk secara berterusan serta semangat patriotisme mestilah disemarakkan dan dizahirkan sepanjang tahun, bukan sekadar wujud dalam bulan Ogos.

Najib Razak

Artikel Sebelum

Artikel Lain