suria

Ramai Pelajar Cemerlang SPM Kecewa

KUALA LUMPUR: Pengenalan biasiswa baharu yang dikenali sebagai Program Penajaan 9A+ sepatutnya memberi kegembiraan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun kumpulan itu melahirkan rasa kecewa dengan syarat khusus yang ditetapkan kepada semua pemohon.

Menurut portal eSila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hanya pelajar yang mendapat A+ bagi semua subjek layak mendapat tajaan itu.

Namun satu-satunya perkara menarik bagi Program Penajaan Nasional itu ialah mereka mempertimbangkan untuk menaja 102 orang pelajar yang mendapat keputusan pada Khamis lalu berbanding hanya 20 pelajar sebelum ini.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman menerusi mesej teks kepada The Star, berkata: "Isu ini akan diperjelaskan tidak lama lagi."

Bagi Eer Kai Jun, yang mendapat 10A+ dan 1A berkata: "Saya terkejut. Sekolah tidak beritahu kami. Kami hanya mengetahuinya selepas membaca berita."

Eer Kai Jun diraikan rakan-rakannya.

Pelajar SMJK Katholik, Petaling Jaya itu berkata dia risau jika hasrat melanjutkan pelajaran menjadi beban kepada ibu bapanya.

"Saya kecewa. Saya rasa telah lakukan yang terbaik," kata Eer yang akan memohon Program Penajaan Nasional dan biasiswa lain bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Sementara itu rakan sekolahnya, Yeoh Li Quan yang mendapat 9A+ dan 1A, berkata: "Gred tahun ini telah menurun. Jadi mengapa mereka perketatkan syarat?

"Ia tidak adil kerana kami tidak diberitahu sebelum peperiksaan," kata Yeoh sambil memberitahu bahawa ramai rakan-rakannya mengambil sehingga 12 mata pelajaran.

Kan Man Kit berkata dia akan mengambil mata pelajaran yang sedikit jika mengetahui mengenainya lebih awal.

"Saya fikir dengan mengambil mata pelajaran yang lebih akan meningkatkan peluang saya," kata pelajar SM Kuen Cheng Kuala Lumpur yang mendapat 9A+ dan 3A.

"Bukan mudah untuk memperolehinya. Kami bekerja keras untuk itu," kata Kan.

Sementara itu seorang lagi pelajar, Cheong Ruoh Wen yang mendapat 11A+ dan 1A, berkata: "Mengikut sistem lama, saya layak mendapatkan biasiswa. Tetapi sekarang saya tak boleh mohon."

Cheong berkata dia akan memohon supaya kertas jawapan Bahasa Melayu miliknya disemak semula.

Selain itu menurut Amanda Kee, 18, dia mengambil dua mata pelajaran tambahan iaitu pendidikan seni dan prinsip perakaunan kerana tidak yakin mendapat A+ bagi subjek Bahasa Cina dan Bahasa Melayu.

"Saya begitu gembira dengan keputusan saya (9A+ dan 2A) tetapi kini tidak lagi selepas mengetahui syarat baharu itu," kata Kee, yang bercita-cita untuk menjadi ahli matematik.

SPM

Artikel Berikut

Artikel Lain