IPOH: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah kereta di sebuah lampu isyarat di Parit Buntar, kira-kira 127km, dari sini, awal Ahad. Dalam kejadian 5.28 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira maut di tempat kejadian manakala penumpang kenderaan terbabit mengalami kecederaan di bahagian kaki. Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Abdull Halim Mansor berkata mayat mangsa dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Parit Buntar. "Difahamkan kereta Proton Wira dari arah Pulau Pinang ke Taiping telah bertembung dengan bas ekspres yang dari arah Taiping ke Parit Buntar dan menyebabkan dua orang yang menaiki kereta itu tersepit. "Bagaimanapun pemandu bas dan penumpang di dalam bas berkenaan selamat," katanya dalam kenyataan media di sini. Sembilan anggota bomba dan penyelamat terlibat dalam operasi menyelamat yang selesai pukul 6.46 pagi, kata Abdull Halim. - BERNAMA