PETALING JAYA: Penerbit, pengarah dan penulis skrip, Amri Rohayat Ahmad Rani meninggal dunia akibat kanser pankreas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin. Amri Rohayat, 49, meninggal dunia pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas menghidap penyakit itu selama lebih setahun. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Marong, Bentong selepas solat Asar. Amri Rohayat begitu meminati seni, dan pernah menulis untuk beberapa filem seperti Rembat, Buta Warna dan Seludup. Saudaranya yang enggan dikenali berkata, Amri Rohayat menghidap penyakit kanser peringkat keempat setahun lalu. Tambahnya, sejak menghidap penyakit itu, Amri Rohayat tidak dapat menulis lagi.