KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) minggu ini untuk membincangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355). Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, Najib telah bertemu dengan parti-parti komponen BN dua minggu lalu dan mereka menyatakan pendirian masing-masing mengenai perkara tersebut. "Perdana Menteri memahami keadaan kita berhubung isu ini dan juga pandangan kita," kata Dr Subramaniam kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin. Mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan mengambil alih untuk membentangkan pindaan Akta berkenaan, Dr Subramaniam berkata, MIC tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu. "Selain itu juga, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan parti-parti komponen sekali lagi, jadi biar kita tunggu mesyuarat itu. "Hanya selepas itu, kita akan tahu apa yang dicadangkan dan barulah kita boleh menyatakan pendirian kita," katanya.