TAIPING: Tan Jia Yi hanya mahu dirinya diiktiraf sebagai seorang warganegara Malaysia. Jia Yi, yang bapanya warganegara Malaysia dan ibunya berasal dari Indonesia bakal berusia 12 tahun beberapa bulan lagi tetapi tidak diberikan status warganegara oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana dilahirkan sehari sebelum ibu bapanya mendaftarkan perkahwinan mereka. Bapanya, Tan Ban Guan telah berusaha mengumpul dokumen untuk mendaftarkan perkahwinan mereka apabila dia dan isteri diberitahu bahawa mereka boleh berbuat demikian di JPN di Ipoh pada 26 Julai 2005. "Secara kebetulan, isteri saya dimasukkan ke wad bersalin pada hari yang sama. Apabila Jia Yi dilahirkan, ia sudah terlambat. "Ketika itu, pegawai di sana sudah mahu pulang ke rumah dan menyuruh kami datang pada keesokan hari dan kami telah melakukannya," katanya selepas mengemukakan permohonan kewarganegaraan kali ketiga dalam tempoh empat tahun lalu untuk anaknya. Ban Guan, yang mempunyai tiga lagi anak berkata Jia Yi juga tidak memegang status kewarganegaraan Indonesia kerana isterinya tidak mendaftar kelahiran di negaranya. "Kami amat bimbang dengan masa depannya. Apa yang akan berlaku bila dia dewasa nanti? "Dia tidak akan dapat melanjutkan pelajarannya, malah tidak boleh bekerja secara sah," katanya. Menurut Ban Guan, Jia Yi telah dibuli di sekolah kerana 'perbezaannya'. "Dalam tempoh dua tahun lalu, dia mula sedar tentang situasi ini dan terus bertanya kami tentang apa sebenarnya berlaku. "Dia berasa tersisih dan pelajarannya merosot," katanya. Jurulatih bola tampar, Patrick Morton, yang membantu Ban Guan memohon kewarganegaraan untuk Jia Yi berkata kanak-kanak itu juga tidak boleh mewakili negeri Perak dalam sukan bola tampar. "Dia cukup layak untuk mewakili negeri. Sebab utama dia tidak terpilih kerana dia bukan seorang warganegara Malaysia. "Dia menjadi mangsa keadaan. Kami diberitahu bahawa permohonannya mengambil masa selama setahun untuk diproses. "Saya harap ia dapat dipercepatkan kerana ia bukan satu kes yang sangat sukar untuk diproses," kata Morton. Ditanya jika dia memahami apa yang sedang berlaku, Jia Yi mengangguk dan berkata: "Saya mahu menjadi rakyat Malaysia seperti adik-beradik dan rakan-rakan saya. Saya juga sama seperti mereka, bezanya saya tiada MyKid. "Saya mahu terus bersekolah dan mahu mewakili negara dalam sukan bola tampar," katanya.