suria

Dua Anggota Polis Direman Disyaki Terlibat Rasuah

ALOR SETAR: Dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan mejar dan koperal direman enam hari bermula Selasa bagi membantu siasatan terhadap tuduhan rasuah di Kulim.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rusmini Mat Rashid. Kedua-dua suspek yang berusia 57 dan 53 tahun itu direman bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Akhbar semalam melaporkan kedua-dua suspek ditahan di sekitar Kulim antara 9 dan 10 pagi oleh sepasukan anggota SPRM. Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua suspek disyaki meminta dan mengambil rasuah RM850 hingga RM900 secara bulanan daripada pengusaha lori sebagai dorongan agar pengusaha pengangkutan tersebut tidak dikenakan saman atas kesalahan lalu lintas.

Antara kesalahan lalu lintas itu ialah tidak mempunyai insurans perlindungan, tiada cukai jalan dan kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota polis berpangkat sarjan mejar berusia 57 tahun itu bertugas di Balai Polis Mahang, Kulim dan anggota yang berpangkat koperal berusia 53 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) Kulim. 

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. 

SPRM katanya memandang serius perbuatan itu kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain. -Bernama

Rasuah, anggota polis

Artikel Lain