suria

1,700 Unit Pangsapuri Mampu Milik Harmoni 1 Putra Heights

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyempurnakan pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku di Putra Heights, Selasa.

SUBANG JAYA: Sebanyak 1,700 unit rumah mampu milik, Pangsapuri Harmoni 1 di Putra Heights di sini, yang dibangunkan menerusi skim perumahan RumahSelangorku di bawah kerajaan negeri Selangor.

Pelancaran Rumah Selangorku pada Selasa merupakan komitmen berterusan pemaju, Sime Darby Property dalam membangunkan perumahan mampu milik di negeri ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Jauhari Hamidi berkata, Pangsapuri Harmoni 1 itu merupakan inisiatif Rumah Selangorku yang kedua oleh Sime Darby Property selepas di Bandar Bukit Raja pada 2015.

“Seiring dengan falsafah Sime Darby Property dalam membangunkan komuniti mampan, hampir kesemua rumah mampu milik kami terletak di lokasi terbaik, dengan akses kepada hab pengangkutan dan kemudahan lain yang dapat meningkatkan taraf kehidupan.

“Putra Heights merupakan sebuah perbandaran dan pembangunan bersepadu yang dilancarkan pada 1998 dan terletak di lokasi perdana dengan akses mudah ke lebuhraya-lebuhraya utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku pada Selasa, yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pangsapuri Harmoni 1 di Putra Heights. Foto Facebook Sime Darby Property

Bercakap kepada sidang media, Jauhari berkata, pembinaan Pangsapuri Harmoni 1 dijadualkan bermula bulan depan, dengan mengambil masa selama tiga tahun.

“Kediaman mampu milik ini merangkumi empat blok terdiri daripada dua jenis unit kediaman, iaitu jenis C1 dengan keluasan 800 kaki persegi sebanyak 700 unit, manakala 1,000 unit bagi jenis D (1,000 kaki persegi),” kata Jauhari.

Kedua-dua kediaman jenis C1 dan D mempunyai ruang tamu, ruang makan, tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dapur.

Harga jualan seunit antara RM170,000 dan RM270,000.

Pangsapuri Harmoni 1 akan dilengkapi dengan kemudahan seperti blok tempat letak kereta lima setengah tingkat, dua pondok pengawal dan dewan serbaguna.

Orang ramai beratur untuk pendaftaran. 

Pendaftaran dan pembelian kediaman Rumah Selangorku terbuka semua rakyat Malaysia, termasuk bukan penduduk Selangor berusia 18 tahun dan ke atas, dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM10,000.

Pemohon perlu mendaftar dengan lengkap di laman web Sime Darby Property, www.simedarbyproperty.com/harmonirumahselangorku dan laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), http://ehartanah.lphs.gov.my

Sementara itu, tinjauan mStar Online mendapati sambutan hari pertama pendaftaran pada Selasa begitu menggalakkan dengan rata-ratanya berpendapat harga kediaman yang ditawarkan mampu milik selain lokasinya yang strategik.

Nasaruddin Mat Yusoff.

Kontraktor, V.Mahendran, 49, berkata, dia hadir bagi meninjau tawaran kediaman Pangsapuri Harmoni 1 untuk tempat tinggal baharu bersama keluarganya.

“Kalau diberi peluang, sudah tentu saya mahu membeli. Harganya berpatutan dan ruangnya sesuai untuk saya, isteri dan empat anak tinggal bersama,” katanya.

Bagi Nasaruddin Mat Yusoff, 56, dia bercadang untuk membeli rumah berkenaan untuk keperluan anak-anaknya.

“Saya tinggal berdekatan dengan Putra Heights, jadi bersesuaianlah kalau membeli rumah ini. Aksesnya mudah untuk kami sekeluarga,” katanya yang bekerja sendiri.

Low Kim Siak.

Tukang masak, Low Kim Siak, 50, pula berkata, tawaran Pangsapuri Harmoni 1 tepat pada masanya kerana dia selama ini hanya tinggal menyewa bersama ibu.

“Dah banyak tahun saya dan ibu tinggal menyewa. Jadi, saya datang di sini untuk meninjau jika ada peluang memiliki rumah mampu milik sendiri,” ujar Kim Siak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain