suria

Hukuman Penjara Jika Jual, Guna Gelaran Palsu

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran Datuk kepada Duta Besar Lebanon ke Malaysia, Datuk Ali Daher pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, 4 Mac lalu. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Mereka yang meminta atau cuba menjual anugerah, gelaran atau darjah kebesaran palsu bakal berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Mereka yang menerima atau menggunakan anugerah yang tidak diiktiraf pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Hukuman ini ditetapkan dalam Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 yang diluluskan oleh Parlimen pada November lalu.

Menurut Warta Persekutuan, ia telah menerima Perkenan Diraja pada 3 Februari lalu.

Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) berkata, akta baharu itu akan menjadi penghalang dalam usaha membendung gelaran Datuk palsu.

"Kami menyokong akta itu dan mengalu-alukan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan," kata Setiausaha Agung MDPM Datuk Josephine Clement.

Katanya, majlis telah membincangkan tentang isu penganugerahan palsu dan gelaran yang meragukan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, pangkalan data nasional bagi 'menapis' gelaran Datuk untuk penelitian awam juga telah diwujudkan.

Clement berkata, laman protokol (www.istiadat.gov.my) itu menyediakan senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri.

"Mungkin senarai terkini dan disahkan dapat dipaparkan tidak lama lagi bagi membolehkan orang ramai memeriksa status pemegang gelaran yang mencurigakan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, salah satu cara untuk mengesan individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu adalah dengan melihat bagaimana dirinya 'membawa' gelaran tersebut.

"Ada yang enggan mencetak gelaran pada kad nama kerana bimbang ia boleh digunakan sebagai bukti," katanya.

Beliau menggesa pihak media bersikap lebih tegas apabila mengumumkan ucapan tahniah dan memastikan bahawa penerima yang dinamakan adalah pemegang gelaran yang sah.

"Apa yang orang baca dalam surat khabar, mereka akan anggap ia sebagai benar."

Chong berkata, memeriksa selempang dan lambang yang digunakan dapat mendedahkan jika seseorang itu menggunakan anugerah palsu.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan membeli anugerah palsu kononnya daripada 'wakil diraja' sambil menambah sebarang gelaran hanya boleh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja negeri atau Yang Dipertua Negeri.

Pada Mac, kerajaan Johor meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

Selangor memperkenalkan enakmen yang sama April lepas, manakala Kelantan adalah negeri pertama yang menguatkuasakan versinya pada September 2015.

Pindaan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 untuk melarang penerimaan gelaran yang tidak diiktiraf telah dicadangkan di Parlimen pada Disember 2013 dan kemudian ditarik balik.

Artikel Lain