ASSALAMUALAIKUM. Setiap jemaah umrah dan haji tentu mahukan kesihatan yang baik untuk beribadat dan beramal di Tanah Suci Madinah serta Makkah. Namun, sakit yang datang secara tiba-tiba tidak mampu dihalang. Jika sakit ringan seperti batuk, selesema, pening dan sakit perut selalunya boleh diatasi dengan ubat-ubatan yang dibawa dari tanah air atau dibeli di farmasi berhampiran Masjidil Haram. Namun, jika penyakit ringan berlarutan atau penyakit sedia ada tiba-tiba menyerang, sudah tentu ia menjejaskan kelancaran ibadah. Perkara seumpama ini sudah tentu tidak diingini apatah lagi jika kunjungan ke Tanah Suci adalah buat kali pertama. Sudah tentu terasa rugi kerana tidak dapat berziarah dan berulang alik ke Masjidil Haram untuk solat berjemaah. Jika terbaring saja dan tubuh semakin lesu, sudah tentu kita tidak mempunyai kudrat untuk makan dan minum. Namun keadaan ini tidak boleh diikutkan keterlaluan kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana dikhuatiri jemaah mengalami dehidrasi. Lazimnya, apabila jemaah tidak sihat, saya nasihatkan mereka agar berehat secara total di dalam bilik. Contohnya, jika demam, saya meminta mereka minum banyak air zamzam dan tidak bersolat di masjid. Saya selalunya menasihatkan jemaah agar memaksa diri mereka untuk makan walaupun sedikit bagi memperoleh tenaga. Ketika ibu demam kali pertama di Tanah Suci, saya menasihatkan ibu agar banyak berehat dan bersolat di dalam bilik hotel penginapan. “Ibu tidur dan masuk waktu nanti, ibu solat di dalam bilik,” ujar saya ketika memegang tubuh ibu yang agak panas ketika itu. “Doakan ibu sihat…” balas ibu sambil mengangguk di dalam bilik penginapan kami. Alhamdulillah, demam ibu kebah setelah dua hari berehat sepenuhnya dan boleh beribadat semula di Masjidil Haram. Begitu juga dengan sebahagian besar jemaah saya yang tidak sihat atau sakit ringan, saya menyuruh mereka berehat dua hari dan insha Allah boleh beribadat semula selepas itu. Namun, ada juga jemaah yang sakit berlarutan, demam semakin tinggi dan tidak berdaya langsung. Dalam keadaan ini saya tidak membiarkan mereka kerana perlu dibawa segera ke hospital untuk rawatan lanjut. Jemaah sering terasa bimbang jika kita hendak membawa mereka ke hospital kerana memikirkan kos yang perlu ditanggung apatah lagi nilai matawang kita rendah berbanding Saudi Riyal sejak kebelakangan ini. Hakikatnya, jemaah boleh mendapatkan rawatan di hospital berhampiran Masjidil Haram iaitu Ajyad Emergency Hospital yang terletak di paras bawah bangunan hotel Safwa Royale Orchid. Usah bimbang dengan kos kerana anda tidak dikenakan sebarang bayaran sama ada ketika mendaftar, menerima rawatan, rundingan daripada doktor mahupun bekalan ubat-ubatan. Pengalaman pertama saya membawa dua jemaah wanita yang berasal dari Gombak ke hospital itu, Hajah Jamiah berusia 70 tahun dan kak Norlia, berusia dalam lingkungan 60-an ketika menunaikan umrah pada Februari 2013. Mereka kurang selera makan, kurang minum dan mengadu tidak sedap badan menyebabkan saya menyarankan kepada waris mereka agar memujuknya agar menjalani rawatan lanjut di hospital berhampiran. Saya menghubungi mutawif dari Indonesia yang dilantik oleh agensi pengendali umrah ketika itu. Namanya, Shaifudin, berusia awal 20-an dan begitu rajin melayan jemaah. Malah, sikapnya yang ramah dan menghormati warga tua menyebabkan sebahagian besar jemaah menyenanginya. “Saif, ada jemaah yang tidak sihat dan nampak gaya perlu dibawa ke hospital. Boleh kamu bantu?”tanya saya kepadanya. “Umi (panggilan Shaifudin untuk saya) boleh bawa ke hospital berhampiran masjid. Boleh berjalan kaki saja…” balas Shaifudin lembut sambil memberi penerangan lanjut mengenai kedudukan hospital berkenaan. “Perlu bawa apa-apa ke untuk ke hospital nanti?” tanya saya pada Shaifudin. “Umi boleh bawa salinan muka depan pasport jemaah. Umi ada simpan atau tidak?” tanya Shaifudin bersungguh. “Alhamdulillah, salinan itu ada dengan umi,” ujar saya pula. “Mudah begitu. Umi tunjukkan saja salinan itu kepada pihak hospital sewaktu daftar nama jemaah nanti,” ujar Shaifudin lagi. “Baiklah. Terima kasih, umi bawa mereka dahulu. Jika ada sebarang masalah, umi hubungi kamu semula ya…” ujar saya. Alhamdulillah, pada hari itu tiada ziarah luar di kota Makkah. Jadi lebih mudah untuk membawa kedua-dua jemaah yang tidak sihat ke hospital. Justeru, selepas bersarapan, saya ke bilik kak Norlia dan Hajah Jamiah. Dengan kerusi roda, saya menolak kak Norlia manakala Hajah Jamiah pula ditolak oleh menantu lelakinya dan turut ditemani anaknya, Zuraidah dan Zuraini. Berjalanlah kami ke Ajyad Emergency Hospital dari hotel penginapan yang terletak kira-kira 250 meter dari perkarangan masjid. Mulanya saya agak ragu-ragu untuk masuk ke dalam hospital itu tetapi memberanikan diri juga dan membawa salinan muka depan pasport sebagaimana dinasihatkan oleh Shaifudin. Sejurus tiba di hospital, saya terus membawa kak Norlia manakala Zuraini dan Zuraidah pula membawa emak mereka ke dalam bilik rawatan. Kami tinggalkan mereka seketika di situ dan saya ke kaunter pendaftaran untuk maklumkan nama kedua-dua pesakit. Sejurus petugas di kaunter bertanya nama kedua-dua jemaah, saya menyerahkan salinan pasport mereka kepada petugas berkenaan. Setelah mengisi nama mereka di dalam komputer, beliau memulangkah semula salinan pasport itu kepada saya. Saya kemudiannya bertanya berapa bayaran pendaftaran namun petugas itu menggelengkan kepala. Dalam hati saya berkata-kata, bayaran mungkin dikenakan selepas pemeriksaan oleh doktor. Saya kemudiannya masuk semula ke dalam bilik rawatan. Kedua-duanya duduk di atas katil sementara menunggu giliran untuk diperiksa oleh doktor. Ketika menunggu itu, jururawat menghampiri mereka dan bertanya mengenai tahap kesihatan. Saya dan Zuraini maklumkan keadaan mereka yang tidak selera makan dan lesu sejak beberapa hari. Hajah Jamiah dan kak Norlia diminta baring untuk memudahkan jururawat menjalankan pemeriksaan awal sebelum doktor datang pada mereka. Jururawat memeriksa tekanan darah dan kandungan paras glukos di dalam darah mereka. Beberapa minit kemudian, doktor datang ke katil mereka dan bertanya serba sedikit mengenai masalah yang dihadapi. Alhamdulillah doktor mengesahkan mereka tidak mengalami sebarang masalah kesihatan malah tekanan darah dan paras glukos juga normal. Mereka tidak perlu menjalani rawatan susulan dan tidak pula diberi ubat-ubatan. Mereka hanya dinasihatkan agar makan dan minum banyak air. Kedua-duanya dibenarkan pulang tidak lama selepas itu. Saya menghampiri kaunter pendaftaran sekali lagi dan bertanya berapakah yang perlu dibayar dan petugas itu menyatakan tiada bayaran. Dalam hati saya berkata, mungkin sebab tiada ubat-ubatan yang diberi dan pesakit dibenarkan pulang. Kunjungan kedua ke Ajyad Emergency Hospital ialah pada musim haji 2016 kerana jemaah perlu menjalani rawatan nebulizer setelah penyakit lelah yang dihadapi semakin teruk. Saya mengajaknya ke hospital itu kerana menyedari tiada bayaran yang dikenakan untuk pesakit tetapi di dalam hati masih ada keraguan kerana kes pesakit berbeza dan ada kemungkinan rawatan lanjutan dan ubat-ubatan memerlukan bayaran. Tambahan pula, ketika kunjungan pertama adalah ketika menunaikan umrah manakala kunjungan kedua sewaktu musim haji. Sekali lagi jangkaan saya meleset. Selesai segala urusan daftar, rawatan nebulizer yang memerlukan pesakit berehat kira-kira satu jam di hospital dan dibekalkan pelbagai jenis ubat-ubatan, bayaran tidak juga dikenakan. Menyedari perkara itu, saya lantas bertanya kepada jururawat yang mula-mula memeriksa jemaah haji saya. “Hospital ini tidak kenakan bayaran ke?” tanya saya pada seorang jururawat dari Filipina dikenali sebagai Lorna. “Tiada bayaran sebab ini hospital kerajaan,” ujar beliau. “Saya pernah bawa jemaah ke hospital ini masa umrah beberapa tahun lalu. Percuma juga. Masa musim haji juga percuma ke?” tanya saya lagi. “Tidak kira masa. Semua pesakit yang datang menjalani rawatan di sini tidak dikenakan bayaran kerana ia adalah hospital kerajaan dan dibuka 24 jam setiap hari,” balas Lorna lagi. Justeru, jika anda bakal menjadi tetamu Allah tetapi tiba-tiba tidak sihat di Tanah Suci Makkah, minta waris membawa anda ke Ajyad Emergency Hospital kerana disediakan perkhidmatan perubatan percuma. Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.