GEORGE TOWN: Seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' bersama sebelas lagi individu ditahan reman berikutan terlibat dalam rusuhan di sebuah pusat hiburan pada 18 Mac lalu. Loh Kok Peng,36, bersama yang lain didakwa merusuh di sebuah bilik pusat hiburan di Jalan Burma pada pukul 3.58 pagi. Sebelas individu lain yang ditahan adalah Curtis Veeran, 19, J. Shatheeswaran, 24, Muhamad Naim Abdull Rahman, 18, N. Kartigk, 26, Ng Hao Ning, 29, dan Siow Pier Sheng, 24. Selebihnya, Tan Ban Chuan, 46, Tan Kai Chong, 21, Tan Teong Boon, 24, Teoh Chee Seng, 36, dan Teoh Kim Teik, 20. Mereka semua didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret pada pagi Selasa. Semua mengaku tidak bersalah. Peguam R.S.N. Rayer yang mewakili 12 tertuduh merayu kepada mahkamah untuk memberikan jaminan. "Saya merayu kepada mahkamah untuk memberikan jaminan sebanyak RM2,000 seorang, satu jumlah yang munasabah yang diberikan oleh ahli keluarga mereka," katanya. Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 seorang bersama seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes.