suria

Pemandu Teksi Bantah Uber, GrabCar Di Luar Parlimen

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemandu teksi mengadakan bantahan terhadap perkhidmatan 'e-hailing' GrabCar dan Uber di luar Parlimen, Selasa.

Kumpulan tersebut, melibatkan kira-kira 50 pemandu teksi berkumpul pada jarak 200 meter dari pondok pengawal Parlimen jam 9.30 pagi sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan menentang GrabCar dan Uber.

Mereka juga menyerahkan memorandum kepada beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tiba untuk bertemu dengan mereka.

Antara yang hadir adalah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Kumpulan itu mendakwa perkhidmatan e-hailing itu telah melanggar undang-undang dan menjalankan aktiviti secara haram.

"Uber dan GrabCar mesti tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang sama dengan pemandu teksi. Barulah kami boleh menerima mereka," kata jurucakap kumpulan tersebut, Zailani Isa Usuludin, 54, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang.

"Kami berada di sini hari ini kerana kami mahu ahli-ahli Parlimen kami, yang telah dipilih melalui peti undi untuk bertemu dengan kami dan bertanya kami apa sebenarnya yang berlaku.

"Pemandu teksi di seluruh Malaysia berdepan banyak kesukaran sekarang. Kami tidak dapat membayar sewa, kami tidak mempunyai sumber pendapatan dan tidak mampu untuk menyara keluarga atau membiayai pendidikan anak-anak.

"Apa yang sedang berlaku?," katanya, sambil menyeru pemimpin negara untuk mendengar masalah mereka.

Sementara itu Mahfuz berkata, kerajaan perlu mencari satu penyelesaian 'sekali dan untuk semua' bagi membantu pemandu teksi, yang didakwa telah dipinggirkan.

Beliau berkata perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar tidak salah tetapi menambah prosedur undang-undang untuk dipatuhi pemandu teksi sepatutnya turut terpakai kepada mana-mana perkhidmatan perkongsian dan e-hailing.

"Sudah ada banyak teksi di luar sana, jadi jika kerajaan ingin benarkan Uber dan GrabCar, saya rasa perkhidmatan teksi patut ditamatkan dan pemandu sedia ada harus dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa penumpang," katanya.

Memorandum enam halaman yang dikemukakan kumpulan itu ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan beberapa ahli politik yang terkenal lain.

bantah Uber, GrabCar, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Lain