suria

Bapa Pemain Bola Sepak Negara Selamat Dikebumikan

Aidil Zafuan (kanan) bersama ibu dan bapanya, Azizah Arshad dan Abd Radzak Salleh.

SEREMBAN: Bapa kepada pasangan kembar pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha selamat dikebumikan di Makam Haji Mohd Said, di sini pukul 11 pagi ini.

Abd Radzak, 68, yang juga bekas anggota tentera menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini pada pukul 4 petang Selasa, ketika mendapatkan rawatan lanjut penyakit asma dan masalah usus.

Aidil Zafuan berkata, ketika mendapat berita kematian bapanya, beliau bersama kembarnya Mohd Zaquan Adha berada di luar Negeri Sembilan dan amat terkejut dengan berita yang diterimanya itu.

"Kami tidak sangka... sepatutnya abah ke hospital untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan, rupanya beliau berada dalam keadaan yang agak kritikal.

"Kami sekeluarga terima dengan hati yang reda," katanya kepada pemberita  selepas selesai upacara pengebumian itu.

Sementara itu, Mohd Zaquan Adha berkata, kali terakhir beliau berjumpa arwah bapanya adalah beberapa hari sebelum menjalani latihan bersama skuad Perak untuk aksi saingan Liga Super.

"Saya sempat membersihkan jambang arwah dan abah meminta maaf pada saya membuatkan saya rasa begitu sayu," katanya.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Surau Taman Rashibah Indah, Sikamat, dekat sini.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi anggota keluarga dan 150 kenalan yang datang menziarah jenazah di tanah perkuburan itu.

Turut hadir penjaga gol kebangsaan Mohd Farizal Marlias dan pemain tengah pasukan Johor Darul Takzim, Mohd Azamuddin Md Akil serta isteri Aidil Zafuan, Zaremah Zainal dan isteri Mohd Zaquan, Ayu Raudhah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Azizah Arshad, 64, dan tujuh anak.

Artikel Lain