suria

Malaysia Bertindak Adil Tangani Kes Jong-nam - Speaker Korea Selatan

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kanan) bersalaman dengan Chung Sye-kyun ketika menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Korea Selatan itu di bangunan Parlimen, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia bertindak secara adil dan wajar dalam menangani kes pembunuhan Kim Jong-nam, kata Speaker Dewan Kebangsaan Korea Selatan Chung Sye-kyun.

Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan Malaysia akan terus berlaku adil dan bersikap wajar berhubung pendirian negara ini tentang isu itu.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen di sini Rabu, Sye-kyun berkata perkara paling penting sekarang kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang kini terkandas di Pyongyang setelah mereka dihalang daripada meninggalkan Korea Utara.

"Mereka berhak untuk pulang ke tanah air mereka dan saya berpendapat ia akan berlaku dalam tempoh terdekat," katanya.

Berikutan tindakan Korea Utara menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, Malaysia bertindak balas dengan tidak membenarkan  rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia meninggalkan negara ini.

Perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tercetus apabila wujud pertentangan pendapat dalam beberapa perkara susulan pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara yang hidup secara terasing.

Jong-nam mati selepas diserang di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu, Sye-kyun berkata: "Saya menyatakan dengan jelas tentang minat dan kemampuan kami berhubung projek Kereta Api Laju (HSR) KL-Singapura". -Bernama

Artikel Lain