LANGKAWI: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd, menjangkakan laluan terkininya, Langkawi-Shenzen, dapat meningkatkan jumlah pelancong dari China ke pulau peranginan ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar berkata laluan antarabangsa ketiga syarikat penerbangan itu dari Langkawi, bakal membawa lebih ramai pelancong dari China berdasarkan kepada kejayaan laluan lain ke China, Langkawi-Guangzhou. "Apabila kami melancarkan laluan Langkawi-Guangzhou pada tahun lepas, kami menyaksikan pertumbuhan jumlah pelancong China ke Langkawi kira-kira 130 peratus dengan penerbangan kami. Kami berpendapat dengan laluan baharu ini, ia akan dapat membawa lebih ramai pelancong dari China," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancarannya. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai melancarkan laluan berkenaan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 di sini Rabu. Beliau berkata China juga merupakan pasaran pelancong terbesar AirAsia ke Langkawi diikuti UK, Singapura dan India. Aireen berkata penumpang AirAsia ke Langkawi berkembang sebanyak 30 peratus tahun lepas berbanding 2015. Selain Shenzen dan Guangzhou, AirAsia turut mengendalikan penerbangan antarabangsa Langkawi-Singapura serta penerbangan domestik ke dan dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.