suria

Malaysia Sertai Perjanjian 5 Negara Tangani Ancaman Daesh

GAMBAR fail menunjukkan sekumpulan militan Daesh berarak di lokasi yang tidak diketahui.

LANGKAWI: Malaysia bersetuju meningkatkan kerjasama dengan Indonesia, Qatar, Pakistan dan Turki bagi mendepani ancaman baharu bersama khususnya menangani penularan ideologi kumpulan militan Daesh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata wakil kesemua lima negara itu bersetuju menggembeleng tenaga dan aset dalam menangani ideologi radikal dan ekstremisme dan cabaran keselamatan lain.

Katanya, persetujuan kerjasama itu dicapai selepas perbincangan diadakan semalam di luar Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) di sini.

Katanya, mesyuarat lima-negara itu juga tepat pada masa selepas cadangan Malaysia dan Arab Saudi menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman awal bulan ini.

"Pergerakan kesederhanaan global boleh dipertingkatkan menerusi kerjasama lima negara ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada sidang Meja Bulat Ketua Tentera Laut sempema LIMA'17 di Resort World Langkawi, di sini, pada Rabu.

Mesyuarat lima negara itu dipengerusikan oleh Hishammuddin bersama Menteri Hal Ehwal Pertahanan Qatar, Dr Khalid Mohammad Al-Attiyah.

Turki diwakli oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Suay Alpay, Pakistan oleh Menteri Pengeluaran Pertahanan, Rana Tanveer Hussain manakala Indonesia oleh Pengarah Teknologi dan Industri Pertahanannya, Brig. Jen. Dr Pieter Ate.

Hishammuddin berkata perjanjian itu bukan satu retorik semata-mata kerana mereka bercadang untuk meneruskan pembentukan kumpulan kerja yang akan bertemu di Istanbul, Turki, April ini, sebelum mesyuarat peringkat menteri di Doha, Qatar. - BERNAMA

Artikel Lain