suria

Kebocoran Gas: JPN Putrajaya Kembali Beroperasi Seperti Biasa

URUSAN orang ramai di JPN berjalan seperti biasa selepas perkhidmatan jabatan tersebut dihentikan buat sementara waktu kerana berlaku kebocoran gas pemadam api di aras 6, Bangunan JPN Putrajaya pada 23 Mac 2017. - BERNAMA

PUTRAJAYA: Perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa pukul 9.45 pagi Khamis, kata Pegawai Perhubungan Awam JPN, Fara Maya Ahmad Jelani.

Beliau berkata perkhidmatan jabatan itu dihentikan sejam dari 8.45 pagi kerana berlaku kebocoran gas pemadam api di aras 6 bangunan JPN di Presint 2 di sini.

Katanya keadaan menjadi kecoh dengan kehadiran ramai pelanggan di JPN disebabkan cuti sekolah apabila bilik rekod menyimpan sijil kematian dan kelahiran dipenuhi gas.

"Kami terpaksa meminta kakitangan JPN dan orang ramai keluar dari bangunan untuk membolehkan pihak bomba menjalankan siasatan. 

"Bomba memberi kebenaran untuk membuka semua perkhidmatan pada pukul 9.45 pagi dan beroperasi seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan JPN pada Khamis.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Mohd Zarami Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.59 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).

Katanya siasatan awal menunjukkan sistem pencegah kebakaran telah mengesan haba dan asap sebelum mengeluarkan sejenis gas mesra alam yang tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai. 

"Sebanyak 37 unit sistem pencegahan kebakaran, bukan jenis percikan air, tetapi mengeluarkan sejenis gas yang sejuk, telah diaktifkan tanpa punca dan kandungan gas sejumlah 64 kilogram keluar serentak.

"Tidak berlaku sebarang kebakaran atau terdapat api tetapi cuma gas keluar dengan banyak. Kakitangan pun panik dan bergegas keluar," katanya menurut laporan Bernama.

Menurut Mohd Zarami, pihaknya masih menyiasat punca bagaimana sistem pencegah kebakaran itu diaktifkan dan laporan siasatan itu dijangka siap dalam  masa dua minggu.

Katanya, sistem pencegah kebakaran itu dipasang di bilik-bilik tertentu di JPN bagi melindungi rekod fizikal berkaitan sijil kelahiran dan kematian agar ia tidak mengalami kerosakan.

Tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, kata Mohd Zarami, sambil menambah JPN menganggarkan kerugian kira-kira RM400,000.

Artikel Lain