KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berasa sedih dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memperkecilkan peranan dan sumbangan pasukan Polis Diraja Malaysia (PRDM) terhadap negara. Perdana Menteri berkata pihak tertentu memburuk-burukkan imej baik PDRM dengan pelbagai tohmahan dan cerita palsu. Katanya, perbuatan sebegini sungguh tidak wajar dan kurang bermaruah, apatah lagi jika ia sengaja dilakukan atas tujuan tertentu termasuk didorong oleh fahaman politik sempit. "Kerana, tiada siapa pun yang dapat menafikan, sejak dahulu lagi, sejarah telah menunjukkan bahawa, jasa dan sumbangan PDRM begitu besar sekali terhadap rakyat serta negara," katanya ketika berucap merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, Sabtu. Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Najib turut menyentuh pengorbanan anggota polis sejak dahulu hingga kini yang rela berkorban nyawa mempertahankan keamanan dan menjaga ketenteraman rakyat serta negara. Katanya, peristiwa serangan segerombolan 185 pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 1950, yang telah mengorbankan 25 anggota polis, isteri dan anak mereka, juga penduduk kampung berkenaan serta insiden berdarah di Lahad Datu pada 2013, merupakan antara pengorbanan pihak polis dan anggota keselamatan. "Mana mungkin kita lupa akan tragedi tersebut (insiden Lahad Datu), yang menyaksikan bagaimana, isteri telah kehilangan suami, anak yang pula hilang bapa tempat bermanja, kerana terkorban dalam pertempuran menentang penceroboh tersebut," katanya. Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 pada kali ini bertemakan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'. Dalam pada itu, Najib berkata segala pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh Malaysia tidak akan terjadi tanpa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini dengan bantuan serta peranan dimainkan anggota polis. Antara pencapaian negara yang disentuh oleh Najib adalah pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), hab ekonomi digital pertama di dunia di luar China dan kedudukan Kuala Lumpur di tangga ke-19 daripada 100 buah ibu kota paling makmur di dunia dalam Indeks Bandaraya Mampan 2016. "Kesemua ini tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa menjadikan soal keselamatan dan keamanan sebagai fundamental, yang menjadi antara prasyarat utama kepada kemajuan serta kemakmuran negara," katanya. Sementara itu, Najib memuji kecekapan anggota polis memgendalikan kes pembunuhan rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam. Pada 13 Feb lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau. Katanya, meskipun kes berprofil tinggi ini telah menarik perhatian dunia namun pihak polis telah bertindak pantas dalam merungkaikan kes berkenaan, selain berjaya mempamerkan profesionalisme yang tinggi dalam pengendalian siasatan tersebut. Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan sedar tugas dan tanggungjawab anggota polis menghadapi cabaran kini yang lebih kompleks dan rumit antaranya jenayah kolar putih yang melibatkan penyalahgunaan teknologi canggih berkomputer, jenayah terancang rentas sempadan serta jenayah siber. "Saya berpendapat bahawa sebagai sebuah organisasi penguatkuasaan yang dinamik lagi progresif, PDRM perlu melakukan transformasi, bergerak seiring tuntutan semasa, perubahan persekitaran dan ekspektasi masyarakat yang semakin meningkat," katanya. Justeru, Najib menyambut baik pelbagai inisiatif pihak polis dalam memerangi jenayah, antaranya Inisiatif Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang dilancarkan hari ini. Inisiatif VSP merupakan salah satu daripada program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), yang mana PDRM menjadi agensi pelaksananya, melalui kesalinghubungan dengan lebih 11 juta pengguna telefon pintar di seluruh negara bagi merancakkan aktiviti pengawasan jenayah dengan melibatkan masyarakat sebagai 'mata' dan 'telinga' PDRM. Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis, yang dilancarkan pada Sabtu.