JOHOR BARU: Siasatan terhadap 13 individu yang ditahan berhubung kes penculikan seorang suri rumah di sini baru-baru ini hampir lengkap, kata Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Zakaria Ahmad. Beliau berkata kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut sebaik tempoh tahanan reman ke atas suspek tamat pada 27 Mac ini. "Berkenaan enam lagi suspek yang ditahan di Batam, Indonesia... Bukit Aman sedang uruskan hal ini. "Disebabkan mereka warga Indonesia dan ditangkap di sana, kita tidak boleh bawa balik dahulu, kita mesti mengikut proses undang-undang negara tersebut dahulu sebelum boleh mengambil tindakan di sini," katanya. Mohd Zakaria berkata demikian kepada pemberita selepas upacara perbarisan Hari Polis ke-210 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Sabtu. Pada 21 Februari lepas, seorang wanita berusia 40-an diculik dari rumahnya di sini dan dibawa lari ke Batam. Mangsa berjaya diselamatkan dari sebuah rumah ladang di Batam dengan kerjasama polis Indonesia selepas 27 hari diculik. Susulan itu, polis menangkap 19 suspek dengan 12 daripadanya ditahan di Johor Bahru, seorang di Plaza Tol Yong Peng dekat Batu Pahat dan enam di Batam.