suria

Kedutaan Korea Utara Jadi Tumpuan Media Selepas Kehadiran Polis

Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song dilihat keluar dari bangunan kedutaan sewaktu tinjauan berhubung perkembangan terkini kes pembunuhan Kim Jong-nam dibuat, Isnin. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kehadiran petugas media meningkat selepas empat anggota polis berpakaian biasa dilihat melawat kedutaan Korea Utara di sini pada Isnin.

Beberapa wartawan mula tiba di bahagian luar kedutaan seawal jam 7 pagi.

Wartawan asing juga, terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan, dilihat telah bersiap sedia dengan peralatan penyiaran mereka sejak pagi.

Sehingga petang Isnin, kira-kira 20 petugas media masih menunggu di luar bangunan kedutaan.

Sebuah kereta polis dengan dua pegawai ditempatkan berhampiran kedutaan di Jalan Batai, Bukit Damansara untuk memantau bahagian luar premis itu sepanjang hari.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis mengetahui bahawa tiga suspek Korea Utara yang dikehendaki dalam penyiasatan pembunuhan Kim Jong-nam sedang berlindung di kedutaan.

Salah seorang daripada mereka adalah pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo, Kim Uk-il, yang sebelum ini gambarnya dirakam oleh penyiar Jepun, TV Asahi sedang bermain snuker di tingkat dua bangunan tersebut.

Dua lagi lelaki Korea Utara yang dikehendaki polis adalah setiausaha kedua kedutaan, Hyun Kwang-song dan Ri Ji-u, 30, juga dikenali sebagai James.

Polis juga mengeluarkan notis 'amaran merah' Interpol terhadap empat rakyat Korea Utara lain yang berumur antara 33 dan 57 tahun, yang telah kembali ke Pyongyang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan