suria

Najib Mungkin Buat Pilihan Raya Awal - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau membuat ramalan berdasarkan jadual cuti untuk kakitangan kerajaan, acara-acara, sambutan ulang tahun dan perayaan yang ditetapkan.

"Mengikut cuti, acara-acara dan sambutan ulang tahun yang dijadualkan, pilihan raya mungkin akan diadakan antara September tahun ini dan Mac tahun depan," katanya.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan di bangunan Parlimen di sini pada Isnin, Dr Mahathir berkata pilihan raya umum akan diadakan sebelum berakhirnya penggal pentadbiran Najib.

Mandat kerajaan Barisan Nasional akan berakhir pada akhir Jun 2018 dan ramai membuat spekulasi bahawa Najib mungkin akan memanggil pilihan raya lebih awal.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata beliau telah bersiap sedia untuk berdepan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dalam debat yang dijadualkan pada 7 April.

"Saya sudah lama bersiap sedia," katanya.

Acara yang ditunggu-tunggu itu dijadualkan diadakan di kompleks Karangkraf di Shah Alam dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjadi moderator.

PPBM, Tun M, PRU-14

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan